Wednesday 11 September 2013

I.C UNTUK PENDATANG TANPA IZIN???












Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu menjelaskan beliau tidak pernah memberi arahan agar kad pengenalan dikeluarkan kepada pendatang tanpa izin di Sabah ketika menyandang jawatan perdana menteri.

Dalam keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah di sini, Dr Mahathir berulang kali menegaskan bahawa pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin dibuat berdasarkan undang-undang Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.

Menjawab soalan pegawai pengendali Manoj Kurup, Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri keempat Malaysia dari 1981 hingga 2003, juga berkata beliau tidak mengetahui langsung tentang apa yang dikenali sebagai "Project IC" atau "Project Mahathir" di Sabah, yang didakwa memberi kerakyatan kepada pendatang tanpa izin.

Manoj: Ketika menjadi perdana menteri dan menteri dalam negeri, pernah atau tidak anda mengeluarkan sebarang arahan agar IC diberi kepada pendatang tanpa izin?

Dr Mahathir: Tidak. Pengeluaran IC kepada pendatang tanpa izin dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ada di Malaysia.

Manoj: Terdapat aduan bahawa ada pendatang tanpa izin di Sabah yang tidak layak menjadi warganegara, telah diberi IC oleh pihak berkuasa ketika itu melalui apa yang dipanggil sebagai "Project IC". Adakah anda tahu tentang perkara ini?

Dr Mahathir: Hanya baru-baru ini saja saya mendengar tentang "Project IC". Sebelum ini, saya tak tahu langsung tentang "Project IC" ini.

Manoj: Sesetengah orang memanggilnya "Project Mahathir". Adakah anda tahu mengenainya?

"Oh, terima kasih banyak-banyaklah kerana menggunakan nama saya untuk projek itu," kata Dr Mahathir, yang disambut dengan ketawa oleh mereka yang hadir pada siasatan itu.

"Saya mendapat tahu nama saya diguna di merata tempat kerana pelbagai sebab. Mereka memanggil saya 'rasis, ultra', tapi saya tidak ambil kisah. Itu dah jadi sebahagian daripada kehidupan politik saya," tambah beliau.

Dr Mahathir, saksi ke-209 dalam siasatan itu, juga menafikan beliau pernah memberi sebarang arahan atau kuasa kepada ketua menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Harris Salleh, berhubung pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin.

Kata Dr Mahathir, ketika beliau menjadi perdana menteri, kerajaan mengamalkan dasar yang hanya memberi taraf kerakyatan kepada pendatang tanpa izin yang layak dan sudah lama tinggal di Sabah.

Sambil menjawab semua soalan yang dikemukakan kepadanya dengan tenang, Dr Mahathir, yang berpakaian sut kelabu, baju ungu dan tali leher merah manggis, berkata kerajaan memberi taraf kerakyatan kepada pendatang tanpa izin melalui prosedur biasa, sejajar dengan peruntukan undang-undang dan tanpa memerlukan arahan mengenainya.

Menjawab soalan Manoj berhubung keterangan saksi sebelum ini bahawa timbalan menteri dalam negeri ketika itu Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dan bekas setiausaha politik Dr Mahathir Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin mendakwa arahan berkenaan datang daripada beliau, Dr Mahathir berkata: "Tidak ada arahan daripada saya."

Manoj: Dalam melaksanakan dasar kerajaan, adakah anda dapati bahawa pada zaman anda, arahan yang anda beri telah disalah tafsir?

Dr Mahathir: Ia sering juga disalah tafsir oleh petugas, kadang-kadang pada mesyuarat pasca Kabinet.

Manoj: Sekiranya anda mendapat tahu ia (arahan) tidak dipatuhi atau bercanggah dengan undang-undang dan peraturan, apakah yang akan anda lakukan?

Dr Mahathir: Apabila mendapat tahu mengenainya, saya akan adakan siasatan.

Menjawab soalan berkaitan sebuah buku tulisan Dr Chong Eng Leong berkaitan beliau, Dr Mahathir berkata beliau hanya melihat buku itu secara sekali lalu dan tidak berpeluang untuk membaca keseluruhan kandungannya.

"Ia suatu kajian akademik yang baik, tapi saya tidak tahu bagaimana kesimpulan boleh dibuat bahawa 'Project IC' adalah atas arahan saya," katanya.

Manoj: Tapi, buku ini berulang kali menyebut bahawa Dr Mahathir telah memberi arahan.

Dr Mahathir: Saya mendapat tahu, jika orang menggunakan nama saya, sesuatu buku itu akan menjadi amat laris.

Merujuk kepada kandungan buku itu, Dr Mahathir menolak dakwaan kononnya ketika mempengerusikan satu mesyuarat, Megat Junid berkata beliau (Dr Mahathir) meluluskan pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin dengan berkata, "Saya tidak tahu suatu apapun mengenainya."
SUMBER

No comments:

Post a Comment