KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pakar motivasi, Datuk Fazley Yaacob
menjelaskan tidak pernah menyangka akan menyandang gelaran juara
MasterChef Selebriti Malaysia kerana berasakan dirinya tidak mahir
memasak.
Fazley, 33, berkata, pada awalnya beliau hampir menarik diri selepas
dimaklumkan namanya disenaraikan sebagai peserta dan bukannya pakar
motivasi dalam program itu.
"Saya pada mulanya memang rasa tiada keyakinan untuk memasak kerana
jarang ke dapur tetapi apabila mempertimbangkan objektif program ini
yang ingin membantu golongan kurang bernasib baik saya terus bersetuju.
"Sejujurnya saya menyertai program ini tanpa banyak ilmu masakan dan
semua hidangan yang saya sediakan adalah pertama kali dan
Alhamdulillahlah para juri menyukainya," katanya ketika ditemui pada
majlis tayangan episod akhir MasterChef Selebriti Malaysia di sini pada
malam Isnin.
Sebelum itu, Fazley muncul sebagai juara program MasterChef Selebriti
Malaysia menewaskan Angah (Raja Lawak) menerusi episod terakhir yang
disiarkan pada malam Isnin.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu “Asmara Ini” itu menerima wang
tunai sebanyak RM57,000 untuk disumbangkan kepada Yayasan Jantung
Malaysia yang diwakilinya setelah memberikan persembahan konsisten
sepanjang 13 minggu program itu berlangsung.
Selain Fazley, artis lain yang turut menyertai program tersebut ialah
Farouk Hussein, Jehan Miskin, Salamiah Hassan, Thanuja, Serina
Redzuawan, Siti Sarah, Azwan Ali, Tomok, Raja Azmi, Karl Shafeq, Dr
Faiz, dan Louisa Chong.
Dalam pada itu, ditanya mengenai rahsianya dalam menghasilkan masakan
yang enak, Fazley memberitahu dia tidak mempunyai sebarang rahsia
sebaliknya sering menjadi pemerhati apabila isteri dan ibunya memasak di
dapur.
Fazley berkata, walaupun tidak pernah mencuba masakan yang dihasilkan
oleh isteri atau ibunya, dia mengingati cara-cara dan bahan yang ingin
digunakan untuk memasak sesuatu hidangan itu.
"Saya suka lihat dan mengingati perkara yang saya lihat dan begitu
juga masakan. Setiap kali menjadi penyibuk di dapur saya akan
memerhatikan bagaimana sesuatu hidangan itu dibuat.
"Alhamdulillahlah saya juga tidak menyangka semua percubaan pertama
kali ketika menyediakan hidangan itu memenuhi kehendak juri," katanya.
Bagaimanapun kata Fazley, dia harus berterima kasih kepada barisan
juri iaitu Chef Joe, Chef Adu, Chef Zubir serta Chef Mozart daripada
Cyberview Lodge sebagai juri jemputan pada episod akhir yang menilai
masakannya sehingga diumumkan sebagai juara.
Sementara itu, Fazley berkata, dia terharu apabila peminat mula
memanggilnya sebagai chef Fazley dan menganggap penghormatan itu sangat
besar buat dirinya.
Fazley memberitahu, dia tidak kisah jika dikenali sebagai chef kerana
ia sekali gus dapat mendekatkan dirinya dengan masyarakat dan peminat.
"Program ini benar-benar telah membuka satu dimensi buat diri saya
sebagai seorang penyanyi, pakar motivasi dan tukang masak kerana ruang
lingkup peminat juga semakin berkembang.
"Jika keluar ke mana-mana pasti ada peminat berbilang bangsa akan
menegur bertanyakan tentang masakan dan motivasi. Ia sesuatu yang baru
buat diri saya," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Fazley turut mengakui dia kini terpaksa
melakukan dua kerja dalam masa sama iaitu diminta untuk menyelitkan
demo masakan ketika memberikan ceramah motivasi.
mStar Online
No comments:
Post a Comment