Friday, 24 February 2012

This place is filled with bacteria! Help Flippy avoid the enemies & stand a chance to win with #DettolNoTouch

This place is filled with bacteria! Help Flippy avoid the enemies & stand a chance to win with #DettolNoTouch

Salam sejahtera,
Entri saya hari ini banyak berkisar tentang kampung halaman. Artikel ini dipetik daripada orang kampung saleehblogspot.blogspot.com.

Kali ini saya hendak bercerita tentang Chemor dan legasinya.

Kenapa saya sering sangat menyebut tempat asal saya di Chemor? Sebabnya hemor memang tempat yang hebat. Di sinilah lahirnya Aminuddin Baki yang merupakan tokoh pendidikan negara. Rumahnya banglo di kampung Batu 9 pernah saya kunjungi. Keluarganya besar. Sanak saudaranya merata di kampung itu, jalan Kuala Kangsar -Ipoh. Di situ juga ada keluarga Tun Adam malek,bekas menteriluar Indonesia yang juga bertanggungjawab menjernihkan konfrontasi Malaysia-Indonesia tahun 1963. Ibunya memang tinggal di situ dan rumahnya juga besar. Sekarang sayatidak pasti sama ada rumah itu masih ada atau tidak.

Dalam satu kalaran kartun Lat dipaparkan orang bermain bola di tepi jalan keretapi. Penjaga gol yang terleka melihat keretapi lalu di belakangnya telah melepaskan goldaripada tendangan penalti lawannya. Jalan keretapi itu dan padang bola tersebut letaknya di pekan Chemor. Lat pun memang orang Tanjung Rambutan. Adiknya Mamat ialah senior saya semasa di Sek Men Raja Chulan, Ipoh. Pada masa itu saya tinggal di asrama manakala mamat tinggal di luar. Dia di tingkatan enam atas dan saya baru berhijrah ke sekolah itu setelah berjaya memasuki tingkatan enam rendah. Mamat memang berwajah lucu tetapi saya jarang melihatnya di sekolah. Kawan seangkatan dengan ialah Karim, ahh tak ingat dah. Kalau dulu ada blog bolehlah saya tulis nama semua mereka.


Pada masa itu (tahun 1982) Chemor belum ada tingkatan enam. Maka terpaksalah saya meninggalkan keluarga dengan sedikit kebimbangan: bagaimana hidup di tempat tanpa wang? Kebimbangan itulah yang menjadi faktor keengganan saya menerima tawaran ke tingkatan empat aliran sains di Ipoh pada tahun 1980. Saya tidak pasti sama ada keluarga saya mampu mengadakan wang untuk keperluan saya di asrama. Jadi, kekallah saya di Sek Aminuddin Balik Chemor sehingga selesai tingkatan lima dalam aliran sastera. Memang minat saya dalam sastera dan kalau saya ke aliran sains agaknya saya akan terkandas. Alhamdulillah pilihan saya bolehlah dikira tepat, agaknya. Dapat jugalah saya memperoleh gred 2 dalam SPM. Di sekolah saya ketika itu rasanya hanya tiga atau empat orang sahaja berjaya mendapat gred 2. Gred 1 rasanya tiada. Gred banyak dan diikuti gred 4 yang paling banyak.


Selain itu, kalau sesiapa pernah membaca buku siri Bercakap dengan Jin, karya Tamar Jalis pastilah dapat mengetahui selok-belok rimba belantara sekitar Chemor, Tanjung Rambutan dan sekitar. Saya tidak mengenali Tamar Jalis tetapi latar kisahnya di tempat saya. Sememangnya di tempat saya banyak kisah misteri dan luar biasa begitu. Nantilah dalam kesempatan lain saya ceritakan kisah pertempuran dua bomoh di kampung saya dengan bantuan jin masing-masing.

Di kampung Ulu Chemor dulu ada seorang pawang yang cukup disegani. Kononnya dia mengawal sekitar beberapa kampung. Sebarang masalah yang timbuln dirujukkan kepada beliau. Kononnya semua jin di beberapa kampung dalam pengawasan beliau dan tunduk kepada beliau. Pernah budak kecil, namanya Faridah, hilang di kampung. Apabila dirujukkan perkara itu kepada pawang tersebut dia cuma menjawa: "Ada dia tu, tak ke mana."

Orang kampung pun kembali mencarinya dan Faridah ditemui di dalam kebun ubi belakang rumahnya pada waktu malam. Sebelum itu sehari suntuk tempat itu sudah digeledah tapi tak ditemui sesiapa. Faridah memang selalu disembunyikan. Kami percaya ada makhluk halus yang suka pada Faridah.

Di kampung saya juga, semasa saya kecil, sekitar tahun 60-an dan awal 70-an agaknya, sering diadakan kenduri simpang. Sebulan sekali orang kampung akan membawa bekalan makanan (potluck) ke simpang empat, dekat rumah saya, untuk dikendurikan bersama. Konsep bawa makanan sehidang sekeluarga memang sudah lama diamalkan di kampung saya. Waktunya bermula senja hingga pangkal. Pawang itu akan mengetuai doa. Saya tidak pasti sama ada orang kampung bersembahyang maghrib atau tidak. Yang pastinya kami seronok menyertai kenduri yang bertujuan menolak bala itu. Di situlah kami menikmati kuih sagu, bubur kacang, kuih lompang, kuih gelang keria), seri muka, kundas (cakui), dan macam-macam.

Sesiapa yang pernah hidup dikampung tentunya akan dapat menghayati kisah yang ditulis oleh Shahnon dalam banyak novelnya seperti Detik-detik Diri di Daerah Daif, Srengenge, Tunggul-Tunggul Gerigis, dan Ranjau Sepanjang Jalan.

Anak-anak sekarang yang lahir dan membesar di bandar langsung tidak tahu akan kehidupan sebegitu. Mampukah mereka memahami kecintaan dan kerinduan ibu bapa mereka terhadap kampung halaman?

1 comment: