Friday 1 June 2012

Perkahwinan Unik Lima Pasangan Polis


Mereka mengetepikan pakaian seragam dan melakar kenangan manis apabila majlis persandingan mereka diadakan serentak selain diarak menaiki tren dari Cheras ke Salak Selatan, kemudian diiring ke Balai Polis Salak Selatan oleh polis bermotosikal berkuasa tinggi bagi meneruskan majlis persandingan.
KUALA LUMPUR: Mereka tidak seperti watak-watak hit polis dalam drama TV Blue Bloods, tetapi hubungan lima pasangan polis dari balai polis Salak Selatan Baru sangat erat seakan-akan mereka sekeluarga.
Tanggal 27 Mei mereka mengetepikan pakaian seragam mereka dan melakar kenangan manis tersendiri apabila majlis persandingan mereka diadakan secara serentak selain diarak menaiki tren transit aliran ringan (LRT) dari Cheras ke Salak Selatan, kemudian diiringi polis bermotosikal kuasa tinggi ke Balai Polis Salak Selatan bagi meneruskan majlis persandingan.
Ia adalah satu hari yang akan terpahat dalam ingatan Norshiffa Azemi yang berkahwin dengan Rizuan Anuar Zakaria, kedua-dua 28.
"Kami sering berjumpa di stesen tren dan akhirnya mengambil keputusan menaiki tren transit aliran ringan untuk ke majlis resepsi kami di balai polis," katanya tersenyum lebar.
"Selain itu, saya menganggapnya unik dan saya percaya ini adalah kali pertama perkahwinan seumpama ini dilangsungkan di Malaysia."
Mashita Mansir, 26, berkata beliau juga sentiasa menggunakan tren untuk bertemu suaminya, Bakhtiyar Bachor, 29 tahun.
"Oleh itu, tren mempunyai maksud yang tersendiri dan istimewa bagi saya," katanya.Norhafizah Ishak, 24, berkata mereka mahukan majlis perkahwinan unik, berbeza daripada orang yang lain.
"Kami juga mahu suatu tarikh di mana semua rakan-rakan dan keluarga kami dapat meraikannya bersama kami,”tambah Lans Koperal yang berkahwin dengan konstabel Nik Mohd Shahfiz Nik Danya, juga berusia 24 tahun.
Muhamad Ridzuan Halim, 28, dan Meslinder Masturi, 26, terkedu seketika ketika ditanya mengenai perkahwinan mereka yang unik kerana terlalu gembira.
"Apa yang boleh saya katakan, kami sangat gembira kerana perkahwinan kami telah menjadi kenyataan," kata Ridzuan.Azrul Azuan Asmawi, 29, dan Nurul Suhadah Nordin, 26, juga terlalu gembira sehingga sukar mengungkapkannya dengan perkataan.
Majlis perkahwinan pasangan anggota Balai Polis Salak Selatan ini merupakan perkahwinan yang paling meriah diadakan bersama dengan rakan sekerja, ahli keluarga dan kawan-kawan.
Semua pasangan berpangkat Lans Korporal kecuali Konstabel Nik Mohd Shahafiz.
Bagi menambah kemeriahan dan kegemilangan majlis, setiap pengantin memakaikan tiara berwarna perak di atas kepala dan memegang sejambak ros merah dan putih.
Penumpang LRT turut mengucapkan tahniah kepada pasangan raja sehari. (mStar Online)

No comments:

Post a Comment