Thursday, 14 November 2013

zambry abdul kadir jadi mangsa terbaru..




Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan berhubung urusan melibatkan kelulusan tanah, projek dan pelaburan di negeri itu.
   
Beliau berkata, sindiket berkenaan menggunakan namanya, anggota exco negeri serta kerabat diraja semata-mata untuk memperdaya dan mengutip wang daripada orang ramai yang mahu mendapatkan kelulusan tanah dan projek daripada kerajaan negeri.
   
"Kegiatan mereka ini agak licik dengan mengaburi pandangan dan perhatian orang ramai dengan menunjukkan seolah-olah mereka mempunyai bukti diberikan kepercayaan bagi pihak menteri besar, anggota kanan kerajaan atau keluarga diraja," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
   
Beliau berkata, sindiket itu menggunakan taktik dengan menyamar sebagai wakil menteri besar untuk mengutip wang termasuk mengemukakan surat palsu kononnya ditandatangani oleh beliau sendiri.
   
"Ada juga gambar yang mereka pernah ambil bersama saya untuk mempengaruhi orang ramai kononnya mereka kenal rapat dan mempunyai pertalian keluarga dengan saya," katanya.
   
Katanya, perkara seperti itu telah lama berlaku namun terdapat segelintir pihak yang masih terpedaya dengan tipu helah sindiket berkenaan yang menggunakan pelbagai cara untuk melakukan penipuan semata-mata untuk mengaut keuntungan.
   
Beliau berkata beberapa laporan polis dibuat sebelum ini dan polis telah melakukan beberapa serbuan termasuk menahan pihak yang bertanggungjawab di sebalik sindiket berkenaan.
   
Sementara itu, diminta mengulas mengenai kononnya dua Adun di negeri itu akan lompat parti, Zambry menjelaskan bahawa ia sekadar khabar angin dan bukanlah satu isu besar.
   
"Saya tidak berhasrat untuk membuat laporan polis mengenai perkara itu kerana ia hanya permainan politik pembangkang yang sudah ketandusan isu," katanya.
   
Beliau enggan melayan isu seumpama itu kerana ingin menumpukan perhatian kepada tugas masing-masing dan memberi fokus kepada pentadbiran negeri demi untuk kesejahteraan rakyat. 



No comments:

Post a Comment