Wednesday 11 September 2013

UMNO AKAN TUMBANG AKIBAT SIKAP BATU API






Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menyelar sikap sesetengah pihak dalam Umno yang suka melaga-lagakan sesama pemimpin terutama ketika musim pemilihan sekarang.

Beliau berkata perbuatan melaga-lagakan sesama pemimpin tidak menguntungkan parti malahan akan dieksploitasikan oleh pihak pembangkang.

Justeru, katanya semua pihak perlu menghormati keputusan Anggota Parlimen Pengerang Datuk Azalina Othman Said yang mengumumkan menarik diri daripada bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno.

"Tetapi malangnya ada pula kalangan Wanita Umno yang terus mendesak Azalina supaya bertanding kononnya bagi mengukur kekuatan," tegasnya dalam laman blog www.umnobahagiancheras.blogspot.com

Desakan itu kata beliau, seperti cuba melaga-lagakan Azalina dengan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang akhirnya akan melebarkan lagi jurang perpecahan di kalangan wanita.

"Wanita UMNO sudah boleh 'berasa seronok' kerana Shahrizat hampir pasti akan terus kekal sebagai Ketua Wanita Umno Malaysia tanpa bertanding," katanya.

Beliau menegaskan, sikap batu api dan memperlekehkan individu tertentu sepatutnya tidak ada dalam minda pemimpin UMNO ketika parti sedang berdepan dengan pelbagai cabaran semasa.

Menurut Syed Ali, pertandingan merebut jawatan dalam parti khususnya sayap wanita bukan gelanggang untuk seseorang individu itu menguji kekuatan atau pengaruh.

"Azalina dah umum untuk tarik diri walaupun beliau berat untuk berbuat demikian, jadi kita kena hormati keputusan tersebut," ujarnya.

Semalam, Exco Wanita Umno, Datuk Dr Maznah Hamid menyarankan Azalina supaya terus bertanding bagi mengukur kekuatan sebenarnya untuk mengemudi sayap UMNO yang berpengaruh itu.

Mengulas saranan itu , Syed Ali berkata, Maznah sebagai orang lama dalam wanita Umno sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan seperti itu.

"Apabila dia (Maznah) buat desakan, akan timbul persepsi seolah-olah beliau seperti batu api yang sengaja melaga-lagakan Azalina dengan Shahrizat," katanya.

"Mungkin Maznah ikhlas tetapi apabila buat kenyataan selepas bekas Ketua Puteri Umno itu umum tarik diri, akan timbul tanggapan seolah-olah seperti memperlekeh-lekehkan kewibawaan Azalina.

Sehubungan itu beliau berharap, wanita Umno akan melihat kehadiran Azalina dalam sayap utama parti itu sebagai positif.

"Jangan kita mudah melatah kerana taksub kepada seseorang atau kerana agenda tertentu, yang menjadi keutamaan ialah memperkasakan perpaduan demi kepentingan Umno termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri." tegasnya.

Beliau mengingatkan bahawa kemenangan merebut jawatan dalam parti bukan bermakna Umno akan lebih selesa untuk berdepan dengan pembangkang pada PRU ke-14.

"Apa guna kita bermegah dengan jawatan yang dimenangi tetapi kita kalah teruk pada PRU," katanya.

No comments:

Post a Comment