Pelakon Talha Harith akan lebih berwaspada sebelum mendedahkan sebarang gambar peribadi miliknya kerana bimbang pihak luar mungkin menggunakan ia untuk memburukkan namanya.
Talha berkata, dia kesal apabila gambar dia memeluk seorang lelaki telah tersebar sekali gus menggambarkan seolah-olah dirinya mempunyai hubungan songsang dengan individu tersebut.
"Foto itu sebenarnya adalah dari telefon Black Berry Messenger (BBM) milik saya yang dijadikan sebagai gambar profil kerana menyukai gambar sedang senyum.
"Tapi tidak sangka pula seseorang telah mengambilnya untuk disebarkan kepada pihak media bertujuan untuk memburukkan nama saya tanpa mengetahui cerita sebenar di sebalik foto berkenaan," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.
Pada Ahad lalu, sebuah akhbar mingguan mendedahkan gambar Talha sedang memeluk seorang lelaki dengan erat yang telah menimbulkan spekulasi dan tanggapan negatif sesetengah pihak.
Talha tidak dapat mengenal pasti siapakah pihak yang bertanggungjawab menyebarkan gambar berkenaan kerana semua kenalan di BBM adalah teman rapatnya.
"Tidak tahu siapa tetapi di kalangan kawan-kawan juga (yang sebarkannya) kerana saya tidak akan menerima orang yang tidak dikenali sebagai kenalan di BBM saya," katanya.
Menjelaskan mengenai foto berkenaan, Talha memberitahu ia diambil bersama seorang pelakon lelaki semasa mereka menyertai sukaneka pada program Extravaganza MyTV3 Out baru-baru ini.
Talha memberitahu, gambar itu telah diambil oleh seorang kenalan mereka semasa dia didukung oleh pelakon tersebut sebelum acara sukaneka bermula.
"Permainan yang kami masuk itu memerlukan saya didukung olehnya dan apabila gambar itu saya gunakan di BBM yang tidak menampakkan keseluruhan bahagian foto, ia seperti saya memeluk lelaki berkenaan dengan erat.
"Tambahan pula semasa gambar itu diambil ramai ahli MyTV3 berada di situ untuk sama-sama menyertai program terbabit dan tidak mungkin saya nak buat hal di tempat terbuka," ujarnya.
Dalam pada itu, Talha berkata, semasa mendapat tahu gambar itu tersebar dia hanya ketawa kerana menyedari masyarakat telah salah faham.
Ahli keluarganya juga turut ketawa apabila isu itu timbul namun menasihatinya supaya lebih berhati-hati selepas ini.
"Saya dan ahli keluarga sangat rapat dan mereka lebih mengenali saya daripada orang lain. Jadi apabila mereka baca laporan itu mereka hanya ketawa kerana tahu cerita berkenaan adalah tidak benar sama sekali.
"Saya boleh tunjuk gambar sebenar kepada wartawan jika mereka berjumpa dengan saya tetapi untuk mendedahkan gambar itu kepada media rasanya tidak kerana ingin menjaga nama baik rakan artis yang mendukung saya," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Talha yang pernah popular menerusi drama Juvana dan Tanah Kubur memberitahu akan berangkat ke Hong Kong dan Seoul, Korea Selatan minggu hadapan bagi menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Mizan Cinta.
Dalam drama itu dia bergandingan bersama pelakon Memey Suhaiza.
Talha memberitahu dia juga baru selesai menjalani penggambaran drama Masitah untuk RTM bersama Elyana, Beego, Amanda Misbun dan Abu Bakar Johar.
Pesanan PK, supaya lain kali tu berhati-hati dengan apa jua tindakan dan tingkahlaku kita. Peminat memerhati sahaja,..
Sumber : mStar Online
PEMIKIR KAMPONG
No comments:
Post a Comment