CERITA Misha Omar hendak berkahwin, sudah berkahwin termasuk didakwa berkahwin lari atau menjadi isteri ketiga kepada seorang usahawan automotif pernah menjadi cerita hangat sejak beberapa tahun lalu.
Penat juga dia menepis segala terjahan yang hampir semua pelurunya tersasar daripada tujuan asal. Akhirnya kerana terlalu lelah, dia memilih untuk membungkam diri. Ajaibnya, cara itu berkesan. Cerita tentang perkahwinannya hanyut mengikut gelombang masa.
Sehingga tengah hari Ahad lalu, kami bertemu. Pertemuan itu diatur pengurus yang juga kakaknya, Mimie Omar, dua hari sebelum sesi fotografi berlangsung. Seperti orang sedang menyorok dan separuh berbisik Mimie berbicara di hujung talian.
“Misha Omar nak bertunang, Insya-Allah. Kami jemput Kosmo! ambil gambar eksklusif Misha dan bakal ahli keluarga baharu kami Ahad ini. Sudi?”, soal Mimie sebelum persetujuan dicapai dan tengah hari Ahad itu kami bertemu.
Faktanya, Misha akan bertunang dalam masa terdekat manakala berkahwin sekitar hujung tahun ini.
“Bagaimanapun semuanya bergantung atas perbincangan keluarga kedua-dua belah pihak,” ujar Misha.
Ah, jejaka yang akhirnya berjaya mengajak penyanyi Bunga-Bunga Cinta dan Pulanglah itu bukan lelaki asing dalam dirinya.
WALAUPUN Misha sempat bercinta dengan lelaki lain, namun hatinya kembali kepada Firos untuk hidup bersama sebagai suami isteri.
Pimpin anak
Cinta mereka pernah kandas-sambung-kandas dan akhirnya dicantum semula sebelum sebulat suara tidak perlu terlalu ego untuk cuba menidakkan jodoh antara mereka.
Jejaka itu, Firos Ezzwan Rossly, 30, seusia dengan si manis Misha. Dibesarkan di Subang Jaya, Selangor, Firos merupakan juruterbang syarikat Penerbangan Malaysia Bhd. (MAS).
Bukan lelaki berkerjaya hebat atau kerabat diraja yang dikejar Misha, sebaliknya jejaka tersebut dipilih kerana dia mempunyai aura tersendiri.
“Dia tawarkan saya sesuatu yang tidak pernah saya fikir. Dia tawarkan saya untuk menjadi pelengkap kepada anak angkat saya, Adam Emir yang akan mencecah usia 7 tahun pada tahun hadapan.
“Dia mahu memimpin Adam ke sekolah sama seperti kebanyakan kanak-kanak lain yang mempunyai ibu dan bapa. Tawaran itu terlalu mahal untuk saya lepaskan,” ujar Misha.
Bukan sekadar tawaran itu sahaja. Misha mengaku, sejak mengenali Firos lima tahun lalu, dia adalah sahabat, kekasih, bekas kekasih dan kini bakal menjadi tunangan yang terbaik pernah hadir dalam hidupnya.
“Saya ada banyak sisi hitam dalam hidup. Dia sentiasa ada di sisi saya, walaupun satu ketika dahulu (tahun lalu) sewaktu kami berpisah, dia terpaksa mendengar luahan hati dan cerita cinta saya yang memang pada waktu itu hampir berkahwin dengan seseorang. Dia gigih bertahan!” tambahnya lagi sambil ketawa mengekeh.
Tersenyum mendengar luahan Misha, Firos kemudian menjadi sasaran pertanyaan.
|
BERITA pernikahannya dengan Firos sekali gus menutup spekulasi Misha yang didakwa berkahwin lari atau menjadi isteri ketiga seorang usahawan.
|
Body guard
Mengapa dia begitu setia menunggu Misha yang tidak kering gosip dengan lelaki, sementelah dia juga artis popular yang boleh memilih sesuka hati lelaki mana untuk dijadikan suami.
Mengapa Firos terlalu yakin bahawa Misha ialah destinasi cintanya yang sejati. Juga, bagaimana Firos boleh terlalu cool menjadi pendengar setia cerita cinta bekas kekasih sendiri yang mahu berkahwin dengan orang lain.
“Siapa kata saya setuju dia nak kahwin orang lain?” soal Firos sambil ketawa.
Dia kemudian menyambung: “Memang masa dia telefon cakap nak kahwin dengan seseorang, saya ucap tahniah, tapi dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Saya jerit dalam hati – please no, please don’t! Tapi ia tak terkeluar dan syukur memang dia tak jadi kahwin dengan orang lain tetapi Insya-Allah akan menjadi isteri saya.”
Tambah Firos lagi, sejak pertama kali berkenalan dengan Misha, dia yakin bahawa Misha ialah jodohnya dunia akhirat. Kerana itu dia tidak mahu berganjak daripada menjadi pemuja setia wanita itu dan ternyata impian untuk menikahi Misha hampir terlaksana.
Mengaku saat mereka berpisah dia juga sempat menjalin cinta dengan wanita lain, namun semuanya tidak berjaya dan tidak seperti percintaannya yang sederhana tetapi kaya dengan kasih sayang bersama penyanyi yang juga aktif sebagai pelakon itu.
Menjawab persoalan tentang kesukaran bercinta dengan seorang artis, Firos memberitahu tidak berhadapan dengan kesukaran.
“Mungkin sebab saya bercinta dengan Samihah Omar (nama sebenar Misha), bukan Misha. The artist I adore, the women I love (artis yang saya puja, tetapi wanita yang saya cinta). Saya tak perlu menjadi orang lain, begitu juga dia,” kata Firos.
Sambil ketawa, Firos memberitahu, kesukaran yang dihadapinya adalah untuk membuat orang percaya bahawa Misha ialah kekasihnya.
“Ramai yang tak percaya saya kekasih Misha. Macam baru-baru ni, kami ke sebuah restoran makanan segera. Ada yang bertanya kepada saya, ‘abang betul ke tu Misha Omar?’ Bila saya jawab ya, mereka tanya lagi, ‘dia siapa dengan abang?’ saya jawab kekasih, tetapi mereka tak percaya sebaliknya cakap saya pengawal peribadi Misha,” ceritanya yang juga mengaku sukar mempercayai bahawa dia adalah kekasih seorang penyanyi popular Malaysia.
Kini saat sedang menghitung hari menjadi pasangan bertunang dan seterusnya menjalani fasa kehidupan sebagai suami isteri, pasangan tersebut sepakat untuk menjalani realiti berumahtangga secara sederhana.
“Keputusan kami untuk hidup bersama adalah tanpa perjanjian kemewahan dunia, namun ia adalah persefahaman untuk menuju syurga bersama dengan seadanya," kata Misha.
Biar sedang mekar meniti tangga bahagia, kerjaya yang ada tetap berjalan lancar. Setelah sekian lama tidak muncul dengan single, kini Misha akan kembali dengan single baharu berjudul Angin Syurga hasil karya Datuk M. Nasir bersama penulis lirik Budhhi Hikayat.
Selain Angin Syurga, Misha juga merancang untuk mempunyai beberapa single lagi. “Saya juga akan terus dengan genre balada selain cuba mengembalikan irama balada padang pasir seperti lagu duet dengan Andy Flop Poppy, Sembunyi,” katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran drama untuk tayangan Aidilfitri nanti, Bonus Hari Raya.
Dalam masa yang sama, Misha kini baru dilantik menjadi duta produk kecantikan Shisheido untuk keluaran White Lucent (Skin Care
Kredit
Kosmo! Online - Hiburan.