PETALING JAYA: Penyanyi Indonesia, Audy Item membidas
kenyataan daripada media negaranya yang menuduh dia telah mengandung
sebelum bernikah dengan pelakon Iko Uwais pada 25 Jun lalu.
Audy atau nama sebenarnya Paula Allodya Item, 29, berkata, berita itu
hanyalah gosip rekaan media negaranya yang gemar membuat tuduhan
sekiranya terdapat artis yang bernikah tanpa membuat sebarang
pengumuman.
"Itu hanya gosip. Di Jakarta, apabila pasangan artis itu berkahwin
secara tiba-tiba, pihak media di sana akan membuat pelbagai tuduhan
termasuklah menuduh kita hamil sebelum nikah.
"Sama juga dengan saya di mana mereka lihat kami baru sahaja
menjalinkan hubungan cinta pada awal Februari lalu dan kini, sudah
bergelar suami isteri.
"Bagaimanapun, seperti yang anda lihat, saya tidak hamil, tetapi saya
teringin untuk mendapatkan anak bersama Iko nanti," selorohnya.
Audy ditemui pada sesi ramah mesra bersama media bagi mempromosi album terbarunya berjudul Selalu Terdepan di Red Box The Gardens di sini baru-baru ini.
Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Untuk Sahabat itu, walaupun pelbagai spekulasi dan tuduhan yang dilemparkan dia tidak mengambil endah masalah berkenaan.
Sebaliknya, dia mahu memberi fokus kepada kehidupan baru bagi menggalas tanggungjawab sebagai isteri terhadap suaminya.
"Jujur saya katakan, kami sangat bahagia dan rasanya, perkenalan yang
singkat bukanlah penghalang untuk kami mempunyai hubungan akrab dan
saling mencintai antara satu sama lain.
"Bagaimanapun, sekarang ini saya bersendirian kerana Iko sedang sibuk
dengan penggambaran filem arahan pelakon Keanu Reeves di Hong Kong.
Rindu sangat pada dia," ujarnya.
Mengenai album terbaru Audy, ia telah dipasarkan di Indonesia pada hujung tahun 2010.
Memuatkan sebanyak 10 buah lagu, Audy berkata, lagu yang paling disukainya adalah Pencuri Hati, yang ditujukan khas buat Iko.
"Lagu Pencuri Hati dihasilkan ketika saya baru sahaja putus
cinta dan lagu tersebut seperti mendoakan supaya saya mendapat jodoh
yang baik dan menemui insan yang menyayangi saya.
"Alhamdulillah, doa itu termakbul dan kini Iko adalah teman sehati sejiwa saya," tuturnya.
www.millinium-arena.blogspot.in
ReplyDelete