AMPANG: Gara-gara menegur rakan sekerja warga Myanmar supaya tidak
berjudi, seorang lelaki berusia 50 tahun dihentak dengan topi keledar
sebelum dibelasah hingga berdarah di kepala di sebuah premis membuat
keranda di Jalan Besar Ampang, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang pergi ke bilik pejabat
di tingkat atas mendapati enam rakan sekerjanya berjudi menyebabkan
mangsa berang lalu menyuruh mereka berhenti dan menyambung kerja.
Menurut sumber, rakan mangsa mulanya akur dan kembali bekerja, namun tidak lama kemudian, seorang daripada mereka datang membawa topi keledar dan cuba menyerang mangsa.
“Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek cuba melarikan diri,
tetapi gagal apabila terjatuh menyebabkan suspek menangkapnya sebelum
dipukul di kepala dengan topi keledar beberapa kali.
“Mangsa yang kesakitan merayu dilepaskan, tetapi tidak diendahkan apabila suspek terus membelasahnya,” katanya.
Sumber itu berkata, rakan sekerja lain yang menyaksikan kejadian itu membantu mangsa dan meleraikan pergaduhan itu.
“Suspek beredar manakala mangsa yang cedera dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan.
“Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Ampang,” katanya.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin
mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut masih
dijalankan.
Harian Metro
No comments:
Post a Comment