Monday, 16 July 2012

Fouziah Gous Dikaitkan Dengan VIP?

 
PETALING JAYA: Fikiran pelakon Fouziah Gous tidak pernah runsing dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan yang sering mengaitkannya dengan individu berstatus VIP sejak kebelakangan ini.

Fouziah, 30, berkata, dia tidak mempunyai kuasa untuk menghalang orang ramai berbicara kisah peribadinya asalkan ia tidak keterlaluan ataupun melampaui batas.

“Saya ambil pendekatan yang mudah dengan tidak melayan gosip begini. Setiap orang ada hak untuk bercakap atau menokok tambah apa juga dakwaan yang mereka mahu perkatakan.

“Gosip yang timbul itu bukan daripada mulut saya tetapi pihak ketiga. Rasanya tidak perlu layan perkara ini selagi tiada pengesahan daripada mulut saya sendiri. Namun, saya akur gosip adalah permainan dunia hiburan,” katanya kepada mStar Online.

Tambahnya, sesuatu perkara itu tidak boleh dianggap benar jika ia tidak keluar daripada mulutnya sendiri dan semua pihak tidak harus mempercayai sesebuah berita tersebut jika ia bersifat khabar angin.

Ketika diusik adakah dia cuba mengelak daripada mengesahkan mempunyai hubungan dengan seorang VIP sebagaimana heboh diperkatakan sebelum ini, Fouziah berkata dia tidak mempunyai sebab untuk menyembunyikan statusnya jika dia menjalinkan hubungan dengan mana-mana individu.
“Tiada apa saya hendak sorok kalau benar saya menjalin hubungan dengan lelaki tertentu. Kalau sudah sampai jodoh, tentulah saya akan berkongsi, takkan hendak lari pula?

“Hakikatnya saya kurang selesa untuk mencanangkan mengenai hubungan cinta selagi tiada pengesahan saya akan berkahwin dengan seseorang itu.

“Saya menekankan aspek tindak tanduk yang harus dijaga dan saya juga adalah seorang yang tidak mudah untuk keluar dengan mana-mana lelaki kerana cara itu sudah didik dalam diri saya oleh keluarga,” luahnya.
Mengenai desas-desus kononnya dia pernah mengeluarkan kenyataan untuk mengakhiri zaman bujangnya menjelang usia 30 tahun, dia menafikan khabar angin itu.

Fouziah yang bakal mencecah angka tersebut pada 11 Disember depan berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana sebagai manusia dia percaya soal jodoh terletak pada ketentuan Tuhan.

“Saya tidak pernah keluarkan kenyataan sebegitu. Siapa saya untuk menetapkan anggaran akan berkahwin pada umur dan waktu tertentu? Saya bukan Tuhan untuk menentukan apa yang akan berlaku pada masa depan?

“Cuma sebagai hambanya, saya terima apa juga ketentuan yang ditetapkan dan berharap agar diberikan jodoh yang terbaik,” katanya.

Terbaru, aktres yang sudah enam tahun menceburi bidang lakonan ini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Dendam Sarakit di Thailand dan telefilem Nur Ramadan untuk TV3.

mStar Online

No comments:

Post a Comment