Thursday 10 May 2012

Fenomena Mania!



SUDAH lapan minggu bersiaran, program realiti Mania terbitan Astro semakin hampir ke kemuncaknya. Minggu ini, lapan penyanyi yang masih bertahan akan berjuang merebut lima tempat ke peringkat akhir pada 19 Mei.
Di sebalik kejayaan Mania mencetuskan fenomena dalam kalangan penonton, tidak kurang ada kata-kata sinis dilemparkan terhadap program ini. Antaranya, kerelevanan Mania dipersoalkan memandangkan peserta terlibat adalah penyanyi yang sudah terkemuka.
Tidak kurang juga ada menganggap Mania sebagai ulangan Akademi Fantasia (AF) kerana hampir sebahagian peserta yang kekal merupakan bekas peserta program realiti popular itu. Ikuti temubual Zass dengan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli mengenai fenomena Mania dan kritikan terhadap program ini.
Bagaimana respons penonton setelah lapan minggu Mania disiarkan?
Raqim: Sambutan penonton terhadap Mania sangat memberangsangkan dan ini terbukti melalui maklum balas mereka di laman sosial Facebook dan Twitter. Setiap minggu, ramai yang memperkatakan mengenai Mania dan tidak sabar melihat persembahan setiap penyanyi. Mungkin kelainan program ini yang menampilkan penyanyi profesional lama dan baru sebagai peserta menyebabkan penonton seronok menonton Mania.
Hanya dua minggu lagi untuk ke peringkat akhir. Sejauh manakah penyanyi yang menyertai Mania menunjukkan peningkatan mereka?
Raqim: Daripada apa yang saya lihat, kesemua penyanyi memberikan sepenuh komitmen untuk menjayakan Mania. Malah, kesemua mereka bersungguh-sungguh untuk menang. Bagi penyanyi yang memang sudah biasa membuat persembahan seperti Jaclyn Victor dan Shila Amzah misalnya, mereka sentiasa tampil dengan persembahan terbaik setiap minggu. Begitu juga dengan prestasi peserta Hot Seat, Aril dan Ebi yang semakin meningkat saban minggu. Ternyata, Mania telah membuka satu jalan buat mereka untuk menyerlahkan sisi lain daripada apa yang sering dilihat sebelum ini.
Dalam ramai penonton memuji Mania, ada juga yang mempersoalkan kewujudan program ini. Mania dikatakan tidak relevan kerana menampilkan peserta dalam kalangan penyanyi yang sudah popular. Komen?
Raqim: Sejak awal lagi, Mania diperkenalkan untuk melahirkan superstar dalam kalangan bintang sedia ada. Kita bukan hanya mahu mencari penyanyi popular, tetapi juga penyanyi yang memiliki kualiti sebagai superstar dan boleh dibawa ke luar negara.
Berbekalkan kualiti inilah, siapa tahu, superstar yang dilahirkan itu mampu mencipta nama di luar negara dan mengharumkan nama Malaysia.
Adakah anda melihat Mania sudah berjaya mencapai tujuannya itu?
Raqim: Berdasarkan persembahan peserta setiap minggu, Mania ternyata menepati objektifnya sewaktu dicadangkan dulu. Apatah lagi dengan bimbingan penerbit muzik handalan seperti Datuk M Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito, bintang setiap penyanyi semakin bersinar. Malah, terdapat beberapa penyanyi yang sudah mendapat peluang untuk menembusi pasaran Indonesia setelah bakat mereka berjaya mengagumkan Ahmad Dhani. Perkembangan ini sesuatu yang positif.
Pandangan anda terhadap pola undian yang seakan-akan lebih berpihak kepada bekas peserta AF?
Raqim: Tidak dinafikan, bekas peserta program realiti mempunyai fan base yang kukuh. Namun, bukan bermakna penyanyi yang bukan lahir daripada program realiti tiada peminat. Malah, saya percaya penonton sekarang sudah pandai menilai peserta berdasarkan persembahan mereka. Jika peserta mendapat undian tinggi, tentunya kerana persembahan hebat mereka.
Mungkinkah ada kejutan dalam separuh akhir Mania minggu ini?
Raqim: Seperti yang diumumkan pengacara, Aznil Nawawi minggu lalu, tiga peserta akan disingkirkan. Selain persembahan peserta, penyanyi terkenal, Yuna juga akan membuat penampilan istimewa. Berkemungkinan besar, seorang penyanyi luar akan turut membuat persembahan.
Perancangan Astro selepas Mania berakhir?
Raqim: Sama ada Mania akan diteruskan ke musim kedua, masih terlalu awal untuk memperkatakannya. Bagaimanapun, kita sudah ada perancangan untuk menampilkan peserta Mania dalam program terbitan Astro yang lain selepas ini.
Harapan dan pesanan anda buat penonton Mania?
Raqim: Harus diingat, hanya lima penyanyi akan ke final. Ini bermakna, penonton perlu bekerja keras mengundi penyanyi kegemaran mereka untuk ke peringkat akhir. Saya harap mereka dapat membuat pilihan dengan bijak dan mengangkat superstar yang betul-betul layak sebagai juara.
Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment