Tuesday 29 May 2012

BREAKING NEWS : Amy (Search) Mus & Ibnor Riza Sertai Umno


Legenda rock tanah air, Amy (Search) atau nama sebenarnya Suhaimi Abd Rahman, menyertai Umno kerana yakin perpaduan orang Melayu hanya mampu dikekalkan jika parti itu terus mentadbir negara.
“Hanya Umno sahaja yang mampu membuat rakyat kembali bersatu. Saya lihat Umno merupakan sebuah parti yang mampu menjamin masa depan negara dan rakyat melalui segala usaha yang dilakukan pemimpin-pemimpinnya,” kata Amy, 54, kepada pemberita selepas menyerahkan borang keanggotaan menyertai Umno di ibu pejabat Umno di sini Selasa.
Turut sama menyertai parti itu Mus (May) atau Mustaffa Din dan Ibnor Riza Ibrahim.
Ditanya tindakan sesetengah artis menyertai PAS atas alasan agama, Amy berkata Umno juga memperjuangkan agama dengan cara lebih baik dan tidak terlalu ekstrem.
“Bagi saya, jika nak perjuangkan agama tidak semestinya menyertai PAS. Umno juga memperjuangkan agama, dan dalam pentadbiran, Umno juga tidak mengetepikan golongan ulama. Jika nak perjuangkan agama, bagi saya tidak semestinya sokong parti yang ahlinya berjubah sahaja,” katanya.
Sementara itu, Mus, 44, memberitahu beliau menyertai Umno selepas menyedari hanya parti itu mampu memberikan yang terbaik untuk negara selama ia memerintah.
“Umno sudah matang dan sudah lama memerintah negara... Sudah banyak yang dilakukan kerajaan bagi menjaga dan memberi keselesaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Bagi Ibnor Riza, 51, beliau telah lama bercadang untuk menyertai Umno setelah sedar akan kemampuan parti itu dalam memberi masa depan yang cerah, khususnya kepada pembangunan negara.
Borang keahlian mereka diterima Setiausaha Kerja Umno Pusat, Datuk Ab Rauf Yusoh. Ketiga-tiga artis terbabit akan menjadi anggota Umno Cawangan Dataran Merdeka, Bahagian Bukit Bintang.
Ab Rauf berkata Umno sentiasa menyokong langkah penggiat seni tanah air menyertai parti itu, dan mereka boleh bertindak sebagai duta parti itu.
“Penggiat seni tanah air yang menyertai Umno ini saya lihat akan menjadi duta kepada Umno dalam menarik minat masyarakat di luar sana untuk masuk ke dalam keluarga Umno,” katanya.
Kini terdapat 43 anggota Umno Cawangan Dataran Merdeka dalam Bahagian Bukit Bintang yang terdiri daripada artis, antaranya Tan Sri Jins Shamsudin dan Jamal Abdillah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment