Wednesday, 9 May 2012

Himpunan Jutaan Belia 2012 : Penghargaan Kerajaan Untuk Belia



Umum mengetahui bahawa sambutan Hari Belia telah ditetapkan pada 15 Mei setiap tahun. Sambutan ini merupakan sesuatu yang kita dapat lihat sebagai pengiktirafan yang tinggi oleh kerajaan terhadap sumbangan generasi belia dalam pelbagai aktiviti pembangunan belia di negara kita. Kerajaan pusat sentiasa mendokong usaha berterusan untuk menghargai jasa semua pihak yang terlibat. Terdapat pelbagai agenda dalam pembangunan belia yang merupakan platform terbaik ke arah menggemblengkan tenaga dalam merencanakan program-program yang memenuhi cita rasa belia secara menyeluruh.

Oleh itu, kita amat berharap melalui Himpunan Belia Negara 2012 bukan sekadar memeriahkan kemenangan semata-mata tetapi sebagai perhimpunan penghargaan kepada belia. Disamping itu para belia perlu mengkaji dan menilai semula semua kejayaan yang dicapai setakat ini bagi mencapai kejayaan yang lebih bermakna pada masa akan datang. Contohnya Himpunan Belia 2011 adalah bukti kejayaan kerjasama antara kerajaan dan belia dalam merealisasikan satu tujuan. Kejayaan pada tahun lalu dijadikan motivasi pada tahun ini dan semoga sasaran kerajaan untuk menghimpunkan 2 juta belia pada tahun ini tercapai.

Dalam pada itu, kerajaan sedar bahawa negara akan terus meraih kejayaan demi kejayaan sekiranya golongan belia pada hari ini sentiasa bersiap sedia dan berusaha memaksimumkan potensi diri mereka. Dengan berbekalkan semangat cintakan negara serta berkeupayaan mempertahankan maruah dan kedaulatan negara demi masa depan tanah air yang tercinta belia akan terus menjadi tunjang kepada negara.  Hakikatnya, golongan belia hari ini merupakan aset penting yang mencorakkan bentuk masyarakat.  Kita percaya belia juga mempunyai keupayaan untuk menyahut cabaran serta berupaya menangani pelbagai masalah secara  bijaksana.

Sementara itu, pada Himpunan Belia 2011 kita dapat lihat kemampuan sejuta belia berhimpun di Putrajaya membuktikan bahawa belia Malaysia mempunyai kualiti-kualiti hebat seperti proaktif, bertenaga, mempunyai banyak idea dan mampu berkorban. Oleh itu, kekuatan dan kelebihan belia ini harus dihalakan dengan betul agar menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.

Pada Himpunan Belia 2011 kerajaan menyediakan hampir 200 aktiviti untuk belia sepanjang laluan Persiaran Perdana. Kejayaan tahun lalu dibuktikan dengan hanya 3 hari sasaran dicapai apabila 1 juta belia berhimpun, dan pada tahun ini kerajaan mensasarkan 2 juta belia berhimpun di lokasi yang sama. Pada tahun lalu, perhimpunan belia diadakan selama 3 hari, namun pada tahun ini bukti penghargaan kerajaan kepada warga belia, perhimpuanan in idiadakan selama 5 hari. Kerajaan tidak lupa menghargai warga belia dengan menyediakan hampir 500 acara dan aktiviti berbanding 200 aktiviti pada tahun lalu. Para belia berpeluang mempamerkan potensi diri dengan menyertai acara-acara berbentuk pertandingan, persembahan, mencuba kemahiran, mencari peluang pekerjaan dan pelajaran serta menguji bakat masing-masing.

Dalam pada itu, kita juga menyedari bahawa peranan belia amat besar dalam merealisasikan matlamat Misi Nasional. Terdapat lima teras Misi Nasional yang dilaksanakan oleh kerajaan yang berkaitan dengan belia.  Ini kerana Misi Nasional yang diperkenalkan oleh kerajaan bukan sahaja menumpukan terhadap aspek-aspek pembangunan sekarang tetapi juga memberi fokus kepada usaha-usaha jangka panjang yang mampu memberi impak secara berterusan. Justeru, golongan belia pada hari ini merupakan golongan yang akan memastikan segala kejayaan yang disasarkan mampu dikecapi dalam tempoh yang ditetapkan.

Pada Himpunan Jutaan Belia 2012 yang akan berlangsung hujung Mei ini kerajaan menyatakan penghargaan kepada warga belia dengan melaksanakan lebih banyak program-program berbentuk pemupukan kepimpinan, latihan, intervensi dan kesukarelaan. Ia adalah usaha berterusan kerajaan untuk memastikan negara tidak ketandusan golongan pelapis kepimpinan muda bagi persediaan masa hadapan.

Tambahan pula, kerajaan juga menjanjikan pelbagai acara penting buat negara malah kepada belia itu sendiri. Kerajaan berazam untuk menjayakan Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya 2012 sebagai satu lagi pencapaian cemerlang bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.Di samping itu,kerajaan mensasarkan untuk membina lebih banyak jaringan kerjasama melibatkan agensi-agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain demi memastikan usaha pembangunan dan perubahan masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik.

Secara keseluruhan, kerajaan telah menghabiskan berbillion ringgit untuk program belia. Penghargaan yang diberi oleh kerajaan ini adalah yang terbaik untuk warga belia kerana mereka adalah tunggak negara. Oleh itu, kita menyeru seluruh rakyat khususnya golongan belia supaya menanamkan azam dan tekad serta memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap usaha-usaha pembangunan dan transformasi masyarakat yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Dipetik dari suaragenerasibaru.com

No comments:

Post a Comment