Pelawak Saiful Apek, 42, berasa pelik apabila namanya tidak digam oleh mana-mana stesen televisyen (TV) memandangkan dia sedang menjalani perbicaraan atas dakwaan berkaitan dadah.
Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff berkata, hal tersebut membuatkan dia bersyukur walaupun pada mulanya agak risau dengan statusnya sama ada diterima stesen TV atau tidak.
"Berdasarkan apa yang dilihat sebelum ini, ramai artis yang digam apabila mereka dikaitkan dengan dadah tapi lain pula situasi saya ini yang masih lagi menerima pelbagai tawaran kerja daripada pihak stesen TV.
"Risau juga jika digam, kerana ia mampu menjejaskan karier saya yang menyara keluarga. Walaupun berasa pelik, namun saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bekerja macam biasa," katanya.
Tambah Saiful Apek, dia menganggap budaya artis digam sudah berubah mengikut peredaran zaman di mana kualiti kerja tiada kaitan dengan hal-hal dadah yang lebih kepada unsur peribadi.
"Pada pendapat saya, isu artis digam adalah budaya dahulu dan kini pihak stesen TV lebih terbuka tentang hal ini di mana mereka tidak mengaitkan antara hal-hal kerja dan peribadi.
"Lagipun artis-artis ini tidak sepatutnya diperlakukan begitu (digam) kerana mereka hanya menjalankan tugas menerusi kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan.
"Bagaimanapun, takut juga jika timbulnya provokasi bagi menutup periuk nasi saya atau artis-artis yang senasib saya," tuturnya.
Pada 1 November tahun lalu, Saiful Apek dan tiga rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, dan Noremy Mohamad, 28, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan.
Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000.
mStar Online
No comments:
Post a Comment