Sunday 24 June 2012

Bintang RTM 2012 akan Lebih Panas


KUALA LUMPUR: Enam daripada 12 peserta diumumkan mara ke pentas akhir Bintang RTM (BRTM) 2012 pada persaingan separuh akhir minggu penyingkiran yang berlangsung di Angkasapuri di sini, malam Sabtu.
Enam finalis tersebut adalah Mohd Hafsyam Noordin (Hafsyam), 25, Nurul Shazia Mohd Rozaini (Shazia), 19, Arie Famree Sius (Arie), 23, Christine Chua Yea En (Christine), 16, Fitri Hakim Omar Walid (Fitri), 19, dan Aisha Masnamimi Safia @ Shafie (Aisha), 23.
Pemilihan enam finalis itu mengundang kejutan kerana sebelum ini BRTM 2012 sudah menetapkan lima peserta akan berentap di peringkat akhir pada 8 Julai depan.
Pengarah Program TV dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM Datuk Mokhzani Ismail berkata, pihak penerbitan dan juri membuat keputusan mengejut itu selepas mempertimbangkan kualiti persembahan para peserta pada malam separuh akhir itu.
"Kesemua juri yang diketuai Jari mengikuti prestasi dan konsistensi setiap peserta pada setiap minggu.
"Pada awalnya kami menetapkan hanya lima finalis akan mara ke pentas akhir tetapi selepas melihat kesungguhan dan kualiti setiap peserta, rasa sayang dan ralat jika tujuh daripada 12 peserta terpaksa disingkirkan.
"Atas dasar itu kami membuat keputusan menambah satu lagi kuota kepada enam finalis untuk ke peringkat akhir," katanya.
Turut hadir pada sidang media berkenaan adalah Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail dan Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV, Norliza Mohd Ali.
Ketua juri yang juga peniup seksofon terkenal Jari berkata, Aisha mengisi kuota keenam finalis yang mara ke pentas akhir berdasarkan prestasinya pada persembahan pada dua minggu yang lalu.
"Aisha adalah peserta yang komited dalam persembahannya setiap minggu. Dia mempunyai vokal yang konsisten dan ada keistimewaan.
"Sebab itu kami pilih dia untuk mengisi tempat keenam di malam akhir nanti," katanya.
Pada konsert malam Sabtu itu, 12 peserta tampil secara berpasangan mendendangkan lagu duet.
Selain Jari, persembahan itu dinilai oleh komposer terkenal Adnan Abu Hassan dan pensyarah vokal dan penyanyi Syafinaz Selamat.
Penyanyi Farawahida tampil sebagai penyanyi undangan menerusi lagu terbarunya berjudulJangan Tanya Aku Lagi.
Keenam-enam finalis itu bakal mengadakan persembahan dalam Konsert Pra Akhir BRTM 2012 pada 30 Jun bagi menyemarakkan suasana dan menyesuaikan diri dengan iringan muzik orkestra menjelang pentas akhir kelak.
Pentas akhir BRTM 2012 akan berlangsung pada 8 Julai depan.
Diacarakan oleh Muaz Mohamed, BRTM 2012 diterbitkan Mohd Yusni Mohamed Ali.
mStar Online

No comments:

Post a Comment