PETALING JAYA: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi akan membuat laporan polis jika artis-artis veteran mengadakan pertemuan tergempar di Finas pada petang Jumaat (petang ini) bagi mempertikaikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-14 persatuan itu samada sah atau sebaliknya.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 32, berkata tindakan artis-artis veteran itu menganjurkan perjumpaan bagi mempersoalkan kesahihan mesyuarat pada 26 Mei lalu adalah menyalahi undang-undang.
“Saya akan buat laporan polis jika pertemuan itu diadakan pada petang ini. Untuk apa mereka mahu mempersoalkan kesahihan AGM14 Seniman yang sudah pun berlangsung itu?
“Tindakan itu adalah menyalahi undang-undang kerana jelas sekali mereka mempunyai agenda dan kepentingan peribadi,” katanya ketika dihubungi mStar Online, pada Jumaat.
Zed berkata demikian sebagai respons kepada isu terbaru yang dibangkitkan kelompok artis veteran menuntut penjelasan sama ada AGM14 Seniman pada 26 Mei sah atau sebaliknya.
Akhbar Berita Harian pada Jumaat melaporkan, aktor dan bekas Bendahari Seniman, Abu Bakar Omar mendakwa mereka berasa tertipu dan dipinggirkan ahli angkatan muda kerana beberapa perkara dibangkitkan pada mesyuarat agung itu tidak diendahkan.
Ditanya mengenai konflik yang tercetus dalam tempoh kurang sebulan dia menerajui Seniman, Zed berkata dia enggan untuk mengulas mengenai isu tersebut sehingga pertemuan tergempar itu berlangsung pada petang Jumaat.
“Buat masa ini saya tidak mahu komen lebih-lebih selagi tiada pengesahan mengenai butiran pertemuan itu.
“Namun, saya percaya ia didalangi oleh individu-individu yang sama seperti kes-kes yang pernah berlaku ketika Seniman diterajui oleh presiden-presiden sebelum ini,” katanya.
Difahamkan, pertemuan tergempar melibatkan artis-artis veteran itu akan diadakan di Pawagam Mini P. Ramlee, Kompleks Studio Merdeka, Finas, Ampang dekat sini pada pukul 3 petang Jumaat.
Pada AGM14 lalu, Zed dipilih sebagai presiden baru persatuan berkenaan selepas memperoleh 152 undian, dengan menewaskan Datuk Ahmad Tamimi Siregar (9 undi) dan Zulkifli Ismail (8 undi).
Bekas presiden Datuk Mustapha Maarof yang sepatutnya bertanding menarik diri pada saat akhir.
mStar Online
No comments:
Post a Comment