Friday, 15 June 2012

TERKINI: Razak Ahmad Bersalah Khalwat



PETALING JAYA: Selepas enam tahun naik turun mahkamah berhubung kes khalwat dengan ahli perniagaan berstatus isteri orang, pelakon Razak Ahmad akhirnya didapati bersalah dan didenda RM2,900 atau setahun penjara oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan tertuduh gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan. Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, Wan Mahyuddin menasihatkan Razak menjaga tingkah laku memandangkan dia adalah artis kerana setiap perbuatan artis yang baik menjadi ikutan kepada masyarakat dan mendapat pahala. “Sesungguhnya perbuatan tertuduh yang berkhalwat bukan saja menjejaskan dirinya malah keluarga, masyarakat dan peminat.


“Tertuduh sering diberikan watak baik dan ahli agama dalam lakonan, jadi mahkamah berpendapat dia mengetahui kesalahan khalwat dan patut diberi hukuman tegas,” katanya. Bagaimanapun, Wan Mahyuddin berkata, mahkamah memberi peluang kepada tertuduh memperbaiki diri dan mahukan masyarakat menerima dirinya.

“Mahkamah berharap hukuman ini memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh tapi kepada masyarakat,” katanya.


Sementara itu, dalam hujahan meringankan hukuman, peguam Syarie Muhamad Azman Karim yang mewakili Razak merayu mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan anak guamnya insaf dengan perbuatannya.



Tambahnya, akibat daripada kes itu, tertuduh kurang mendapat tawaran berlakon selain disenaraihitamkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).


“Kes yang berlanjutan selama enam tahun ini menjadi hukuman kepada tertuduh. Dia hilang tawaran berlakon dan bercerai dengan isterinya. Malah kes ini disebut di kalangan warga media,” katanya. Selain itu, Muhamad Azman memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Razak kerana ia memberi kesan kepada kehidupan dan pendapatannya.


Pendakwaan kes itu yang dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli.

Pada prosiding sebelum ini, pendakwaan memanggil tiga saksi untuk memberi keterangan manakala hanya Razak tampil sebagai saksi pembelaan.


Ketika ditemui media di luar mahkamah, Razak enggan mengulas lanjut. “Saya tak ada apa nak komen. No (tiada) komen. Saya frust (kecewa),” katanya. Razak yang memakai sut hitam dan bersongkok membayar denda itu.



Pada 14 September 2006, Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 46, tidak mengaku bersalah berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 46, di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, jam 2.15 pagi, 1 April 2006.



Bagaimanapun, Selamah yang hadir bersama suaminya pada prosiding itu mengaku salah dan didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan.



Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 20(1)(a) bagi lelaki dan (b) bagi wanita mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Harian Metro


No comments:

Post a Comment