PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia amat bernasib baik kerana nyawanya terselamat apabila sempat menjalani pembedahan bagi membuang apendiks yang sudah berada pada tahap kritikal.
Almy berkata, penyakit apendiksnya itu sudah bernanah dan jika tidak dirawat dalam masa yang cepat, ia akan menyebabkan jangkitan dan berkemungkinan besar boleh membawa maut.
Menceritakan pengalaman ngeri itu, Almy berkata dia mengalami kesakitan pada bahagian perut secara tiba-tiba pada tengah malam 23 Mei lalu sehingga menyebabkan dia ditahan di wad Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) di sini, untuk pembedahan segera.
“Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Pada malam 23 Mei lalu saya alami sakit perut yang teruk sehingga memaksa saya mendapatkan rawatan di KJMC. Tak sangka pula selepas pemeriksaan, doktor kata apendiks saya sudah bernanah teruk.
“Saya juga sudah berada di ambang maut kerana apendiks itu hampir pecah jika saya lewat sehari ke hospital. Mujurlah semuanya sudah selamat dan kini keadaan beransur sembuh selepas hampir dua minggu pembedahan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Selasa.
Bercerita lanjut, Almy yang sedang menjalani proses berpantang untuk tempoh tiga minggu berkata, selain menekankan aspek pemakanan dia juga perlu berhati-hati dalam pergerakannya.
“Doktor kata saya kena berpantang selama tiga minggu kerana luka pembedahan itu agak teruk. Tetapi ibu nasihatkan agar saya berpantang selama tiga bulan bagi memastikan luka dalam perut sembuh sepenuhnya.
“Sekarang, saya sangat menekankan pengambilan makanan yang tidak pedas selain memilih makanan berkhasiat. Paling penting saya kena kawal pergerakan agar tidak lasak sebab maklumlah saya ini tidak boleh duduk diam.
“Saya sangat trauma dan sakit akibat pembedahan itu tetapi keadaan beransur pulih. Walau sakit dan sukar mana sekalipun pergerakan saya, kerja kena diteruskan kerana saya anak sulung yang perlu menyara keluarga di kampung,” katanya.
Ditanya mengenai satu demi satu musibah yang menimpa dirinya sejak tahun lalu antaranya sakit misteri, patah jari kaki, dugaan dalam percintaan dan apendiks, Almy menganggapnya sebagai dugaan Allah untuk menghapuskan dosa-dosa kecilnya selama ini.
“Saya percaya segala musibah yang datang kepada saya adalah dugaan daripada Allah untuk menghapuskan pelbagai dosa yang pernah saya lakukan,” jelasnya.
Terbaru, Almy kini kembali bekerja dan baru saja memulakan penggambaran telefilem Hari Raya berjudul Sebelum Raya arahan Zulkifli M Said untuk tayangan di sebuah saluran televisyen.
mStar Online
jln2 sini..
ReplyDelete