Thursday, 28 June 2012

Soul Gang, Project Elementz Iringi Dem Lepak Boyz Ke 'Showdown 2012' Akhir



KUALA LUMPUR: Dua kumpulan penari atau dikenali sebagai kru iaitu Soul Gang dan Project Elementz mara ke pentas akhir program realiti tarian Showdown 2012 pada peringkat separuh akhir di KL Live di sini, malam Rabu.
Dua kru berkenaan mengiringi Dem Lepak Boyz yang sudah diumumkan layak ke final secara automatik menerusi 'Tiket Ekspres' pada minggu lalu.
Kemaraan tiga kru itu sekali gus mengakhiri perjalanan Walawei dan Soul Krazy daripada program tersebut.
Soul Gang yang ditubuhkan sekitar lima bulan lalu berkata, pencapaian ke pusingan akhir adalah berkat kerjasama ahli kumpulan dan kritikan membina para juri sejak pertandingan itu bermula.
"Gabungan latar belakang dan pengalaman yang berlainan banyak membantu kami dalam membina keserasian dan mencari idea koreografi tarian untuk program ini.
"Kritikan yang positif dan ada kalanya kasar daripada juri adalah motivasi yang membuatkan kami berada sehingga ke tahap ini," kata salah seorang anggotanya, Nana.
Soul Gang
Project Elementz yang dianggotai sekumpulan remaja Cina pula tidak menjangkakan mereka terpilih untuk beraksi di peringkat akhir.
"Kami langsung tidak jangkakan untuk melangkah ke final. Kami hanya melakukan yang terbaik pada setiap minggu tanpa memikirkan mengenai peluang untuk mara atau tidak.
"Selepas tujuh tahun kru ini ditubuhkan, ikatan kami semakin kuat dan melangkaui hubungan persahabatan atau pasukan. Kami adalah legasi yang terus hidup kerana ahli kami merangkumi generasi pelapis iaitu kanak-kanak," kata kru itu.
Ditanya mengenai corak persembahan pada malam akhir kelak, kedua-dua kru itu memilih untuk tidak mengulas lanjut bagi memberikan kejutan kepada penonton.
"Ada beberapa konsep dan koreografi yang sudah kami fikirkan tetapi tidak boleh dikongsi buat masa ini untuk kejutan," kata Soul Gang.
"Mungkin apa yang boleh kami kongsi hanya satu iaitu kami akan tampilkan konsep ‘gothik’ pada malam akhir nanti," kata Project Elementz.
Project Elementz
Penerbitnya Zebedee De Costa berkata, secara keseluruhannya pihak penerbitan berpuas hati dengan kelancaran program bagi musim ini dan menganggap ketiga-tiga kru itu berhak bersaing di pentas akhir.
"Kru-kru yang bertanding pada musim ini memang mantap dan perjalanan program juga berjalan lancar dengan para juri memberikan input dan penilaian yang baik. Ketiga-tiga kru itu berhak untuk berada di peringkat akhir," katanya.
Pada malam separuh akhir itu, Dem Lepak Boyz tampil dengan tarian bagi lagu Bulls On Parade nyanyian Race Against The Machine dan Project Elementz beraksi dalam lagu Brahms- Beautiful Day.
Soul Krazy pula menerusi lagu The Way You Love Me - Keri Hilson, Soul Gang (Let's Buy Happiness - Boys Noize & Kyoto ft. Sirah - Skrillex ) dan Walawei (What Makes You Beautiful - One Direction.
Dem Lepak Boyz
Project Elementz mengungguli carta kedudukan undian dan diikuti Soul Gang dan Dem Lepak Boyz selepas pertandingan pada malam Rabu itu berakhir.
Juara Showdown 2012 akan memenangi wang tunai RM50,000 dan penyertaan dalam bengkel 'The Urban Dance Camp' di Jerman.
Pada malam akhir nanti, setiap kru akan mempersembahkan dua tarian yang bertemakanThe Final Challenge.
Ia akan disiarkan secara langsung selama dua jam pada 4 Julai depan pukul 9.30 malam di 8TV.
Showdown 2012 mula disiarkan sejak 4 April lalu menerusi 10 siaran langsung dan empat episod rakaman uji bakat.
mStar Online

No comments:

Post a Comment