SUBANG JAYA: Pelakon Zain Saidin tidak mempunyai sebarang sebab untuk berasa kecewa apabila artis yang sering dikaitkan dengannya iaitu Rozita Che Wan dikaitkan pula dengan pelakon Beego.
Zain sebaliknya memberitahu, jika benar gosip tersebut, ia adalah satu berita baik dan dia tumpang gembira untuk Rozita.
"Kalau itu pilihan Che Ta (Rozita) saya doakan dia bahagia dan gembira dengan pilihannya dan saya yakin dia tahu apa yang terbaik buat dirinya.
"Saya langsung tiada masalah dengan perkara itu kerana itu adalah urusan peribadi Cik Ta," ujarnya selepas ditemui pada majlis pelancaran drama Naziha dan Bukan Bidadari di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Zain berkata, perkhabaran terbaru itu sekali gus telah melenyapkan semua khabar angin mengaitkan dirinya dengan pelakon jelita itu.
Zain memberitahu, dia sudah penat menjelaskan kepada media mengenai statusnya dengan ibu tunggal beranak dua itu dan berharap ia tidak dibangkitkan lagi selepas ini.
"Penat dah asyik nak jelaskan perkara sama, jadi harap-harap jika benar apa yang dikatakan mengenai hubungan Che Ta dengan Beego, kuranglah sikit orang kaitkan saya dengan dia," katanya.
Sementara itu, Zain berkata, dia kini masih solo dan tidak terlalu memikirkan mengenai soal cinta kerana ingin memberikan tumpuan kepada kerjaya sebagai pelakon.
Menurut Zain, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk bercinta tambahan pula dia sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti lakonan.
"Sekarang masa untuk kumpul wang dan aset untuk masa depan namun tidak dinafikan saya banyak berkawan dengan orang tetapi bukan untuk bercinta," ujarnya.
Zain bakal muncul dalam drama bersiri berjudul Naziha menerusi slot Zehra bermula pada 15 Jun, setiap hari Jumaat pukul 9 malam.
Selain Zain, drama arahan Along Kamaruddin itu turut menampilkan pelakon seperti Izara Aishah, Erry Putra, Amar Baharin dan Ryzal Jaafar.
mStar Online
No comments:
Post a Comment