UNTUK julung kali, stesen satelit Astro akan menayangkan sinetron Indonesia sebanyak 40 episod lakonan penyanyi dakwah terkenal, Maher Zain bertajuk Insya-Allah sempena Ramadan akan datang, mulai 17 Julai ini.
Sinetron berunsur dakwah ini menggabungkan penghibur dari Sweden itu bersama Fadly, vokalis kumpulan Padi yang cukup popular di Indonesia dan Malaysia.
Tayangan akan dibuat serentak di Malaysia menerusi saluran Astro Oasis 106, Mustika HD serta saluran Indonesia, SCTV serentak sempena bulan puasa.
Sinetron atau drama episod ini akan mula ke udara mulai jam 5.30 petang di Astro Oasis setiap hari sepanjang Ramadan.
Lebih menarik, ia mengetengahkan kesemua lagu-lagu rakaman studio rakaman Maher Zain seperti One Big Family, Muhammad, Masha Allah, Forgive Me dan banyak lagi.
Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, tayangan sinetron itu adalah kali pertama disiarkan bercorak keagamaan bagi memberi mesej yang baik sempena bulan mulia dan juga satu kelainan buat peminat Astro Oasis.
“Apa kami cuba paparkan adalah sesuatu yang baru dan berlainan daripada apa pernah dibuat sebelum ini. Malah kami berbesar hati dapat mempersembahkan saluran khas sempena Ramadan ini sebagai satu hadiah terbaik kepada peminat Maher.
“Paling penting, inisiatif ini juga adalah antara cara terbaik berdakwah kepada masyarakat. Biasanya persepsi orang sering mengaitkan penyanyi atau artis membawa kesan atau pengaruh buruk kepada golongan muda tetapi dalam sinetron Insya-Allah, semuanya adalah mengenai pengajaran dan berunsur nasihat dengan cara Maher yang tersendiri.
“Sinetron ini juga memberi mesej baik terhadap kerjasama terjalin antara Malaysia dan Indonesia menghasilkan sinetron bercorak keagamaan mengikut perkembangan semasa.
“Kami harap tayangan sinetron Insya Allah membuka ruang dimensi baru membuka pemikiran melihat bagaimana seorang Muslim dan penyanyi keagamaan berdepan cabaran sukar di luar negara seperti Maher,” katanya.
Menurut pengarah sinetron Insya Allah, Eddy Prass, sinetron kali ini menampilkan jalan cerita yang tidak sama antara satu sama lain.
“Ciri-ciri keislaman menerusi lagu dan karakter Maher Zain digandingkan dengan lakonan Fadly dalam setiap episod. Kami sendiri belum pernah membuat sinetron seperti ini dengan menggabungkan penyanyi luar dengan vokalis dari Indonesia.
“Cabaran menyiapkan sinetron ini juga besar kerana Maher sibuk menjayakan konsert di Eropah. Kami cuma ada masa 21 hari untuk melakukan penggambaran bersama Maher yang hanya lapang selepas beliau melancarkan album Forgive Me di Bali, Mei lalu.
“Maher akan bertutur sepenuhnya dalam bahasa Inggeris sementara Fadly, rakan baiknya akan membantu dalam pencarian seorang rakan dikenali sebagai Muhamad Basofi.
“Bukan itu saja, Maher dan Fadly membawa watak nama masing-masing sepanjang 40 episod ditayangkan. Kami memang terkejut dengan komitmen Maher yang begitu ceria sepanjang menyiapkan sinetron ini memandangkan jadual begitu padat yang kini sudah memakan tempoh selama lebih daripada 70 hari.
“Bayangkan, Maher boleh bekerja dari jam 7 pagi hingga hingga jam 4 pagi setiap hari. Dia hanya tidur selama beberapa jam dan menyambung semula penggambaran dan mampu menyiapkan setiap babak dengan baik.
“Dia hanya kekok pada enam atau tujuh babak pertama tetapi sudah mendapat ‘feel’ dan gambaran wataknya, semuanya berjalan lancar. Dia seorang suka bergurau dengan perkataan bahasa Indonesia paling digemarinya adalah ‘Apa lihat-lihat, mau berhantaman?’
“Saya juga tidak dapat lupa Maher mahu menyebut semangat tetapi menjadi semangka.
Semangka bermaksud tembikai hinggakan krew penggambaran tersenyum mendengarnya,” katanya.
Sinetron ini membabitkan bekerjasama dengan DNA Production dengan kerjasama Sony Music Indonesia. Penggambaran dilakukan di sekitar kawasan Jakarta, perkampungan serta pinggir pantai Anyer.
Harian Metro
No comments:
Post a Comment