GAMBAR X-Ray menunjukkan tumor seberat 14.9 kilogram pada tubuh Jesus Rodriguez.
JESUS Rodriguez bermain bersama ibunya selepas doktor berjaya membuang tumor daripada tubuhnya.
BANDAR RAYA MEXICO: Doktor di negara ini berjaya membuang 14.9 kilogram tumor yang lebih berat daripada kanak-kanak dua tahun yang menghidapnya, baru-baru ini.
Jesus Rodriguez dari Durango, negeri di utara Mexico dilahirkan dengan benjolan tidak berbahaya yang tumbuh di bahagian kanan tubuhnya dari ketiak hingga pinggangnya. Pengarah Pakar Kanak-Kanak di Hospital La Raza di mana pembedahan itu dilakukan, Dr Gustavo Hernandez berkata, tumor itu lebih berat daripada Rodriguez yang mempunyai berat 11.7 kilogram ketika dia menjalani pembedahan itu dua minggu lalu.
Doktor di hospital di bandar raya Mexico mengambil masa 10 jam untuk membuang ketumbuhan gergasi itu, menurut Dr Hernandez. Namun, ia keluar tanpa kesukaran dan kanak-kanak itu semakin pulih serta keadaannya baik-baik saja. Dr Hernandez berkata, pembedahan itu menandakan kali pertama doktor di negara terbabit dapat membuang tumor lebih besar daripada pesakit yang menghidapnya.
Pada Ogos 2010, doktor membuang tumor seberat hampir 25.4 kilogram daripada rahim seorang wanita warga Argentina berusia 54 tahun. Benjolan besar itu adalah antara tumor terbesar yang pernah dibuang, kata pegawai perubatan.
Ia tumbuh dalam rahim wanita itu selama 18 bulan dan mempunyai berat sama seperti kanak-kanak empat tahun atau pasangan kembar lima.
Pesakit berkenaan yang sukar berjalan atau membongkok untuk mengikat tali kasutnya sejurus selepas pembedahan mempunyai berat badan berkurangan sebanyak 31.7 kilogram ketika dia keluar hospital. - DM
No comments:
Post a Comment