BAGAI PINANG DIBELAH DUA...Irma dan Redza selamat diijabkabulkan, semalam.
PUTRAJAYA: Pertemuan singkat di Tanah Suci ketika mengerjakan umrah pada 14 Februari lalu adalah petanda jodoh antara pengacara dan pelakon jelita, Irma Hasmie Ibrahim, 30, bersama jejaka pilihan hatinya yang juga ahli perniagaan, Redza Syah Azmeer Datuk Mohd Radzuan, 31.
Pasangan merpati dua sejoli itu sah bergelar suami isteri selepas selamat dinikahkan bapa Irma, Ibrahim Othman di hadapan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Putrajaya, Ustaz Mohd Redha Ahmad di dewan persidangan Perbadanan Putrajaya tepat jam 4.55 petang di sini, semalam.
Tampan dan cantik menggayakan busana berwarna putih, dengan sekali lafaz Irma menjadi milik Redza. Pada majlis pernikahan yang berlangsung serba meriah itu, Redza turut membawa 11 dulang hantaran dan dibalas 13 dulang daripada pengantin perempuan.
Ketika ditemui selepas majlis selesai, Irma berkata dia dan Redza ditakdirkan bercinta selepas mereka disatukan sebagai suami dan isteri. Katanya, dia tidak pernah menyangka jodohnya sepantas ini. Apatah lagi, pertemuan dia dan Redza pula berlaku di tempat baik dan ketika mengerjakan umrah.
“Perasaan saya sekarang sangat gembira kerana ditentukan Allah bertemu jodoh dengan Redza. Saya akui sangat teruja melalui percintaan selepas kahwin.
“Redza berjaya menawan hati saya dengan sikapnya yang penyayang, bertanggungjawab dan amat disenangi. Saya berasa sangat selesa sepanjang berada di sisinya kerana dia seorang yang tenang,” katanya.
Menurut Irma, kini jadual hidupnya sudah berubah dan dia akan berusaha menjadi isteri yang baik buat Redza. Malah, katanya, biarpun suami masih memberi kebebasan padanya untuk terus bekerja, tetapi keluarga adalah perkara utama. Sementara itu, Redza berkata, dia memang sudah mengenali Irma sebagai seorang artis. Namun, pertemuan di Tanah Suci itu sudah cukup membuat hatinya terbuka untuk menjadikan Irma sebagai teman hidup. Katanya, Irma seorang wanita yang baik, bertanggungjawab dan penyayang.
“Malah, saya juga tertawan dengan Irma kerana sikapnya yang menghormati orang tua. Hubungan dia dengan keluarga juga sangat rapat dan membuatkan saya yakin untuk memperisterikannya.
“Saya percaya dia mampu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri, saya takkan menghalang Irma daripada meneruskan karier seni diceburinya. Saya akan sentiasa memberikan sokongan kepadanya,” katanya.
Di majlis bersejarah itu, Irma turut menerima cincin perkahwinan, wang hantaran sebanyak RM33,333,33 serta mas kahwin RM2,200. Majlis resepsi akan dilangsungkan esok di dewan Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Harian Metro
No comments:
Post a Comment