Monday 25 June 2012

HOT: Shashi Tharan Berasa Berbaloi Berhenti Kerja



KUALA LUMPUR: Tawaran lakonan yang semakin bertambah membuatkan pelakon Shashi Tharan berasa keputusan berhenti kerja sebagai pengurus di sebuah kolej swasta lima tahun lalu adalah sangat berbaloi.
Shashi berkata, atas peluang dan kepercayaan yang diberikan pengarah Mamat Khalid untuk membintangi filem Melayu pertamanya iaitu Estet, dia semakin diterima oleh industri perfileman tempatan.
"Pada mulanya takut juga dengan keputusan untuk berhenti kerja. Maklumlah, bukan senang untuk menyertai industri lakonan di arus perdana.
"Saya pernah bertanya pada diri sendiri, adakah benar keputusan saya ini? Ada lagi ke penerbit nak ambil saya berlakon? Bagaimanapun saya bersyukur, pembabitan saya menerusi Estet membuka mata ramai pihak penerbit," katanya yang turut membintangi filem Appalam, Bravo 5 dan KL Gangster 2.
Tambah Shashi walaupun kerap mengambil watak sampingan sahaja dalam filem-filem Melayu, itu sudah cukup memadai, lebih-lebih lagi apabila menarik bangsa India untuk menonton filem-filem tempatan.
Dalam pada itu pelakon ini turut merancang untuk menghasilkan sebuah filem berkonsepkan '1 Malaysia' agar ia dapat ditonton oleh semua kaum di Malaysia.
"Dalam membina karier sebagai pelakon, saya juga bercita-cita untuk menyatukan industri filem India, Melayu dan Cina untuk menjadi satu, barulah industri kita lebih meriah," tuturnya.
Sementara itu, Shashi bakal menemui penonton menerusi filem aksi seram Tamil berjudul Olli yang akan ditayangkan pada penghujung tahun ini.
Menarik tentang Olli, filem ini menyasarkan penonton daripada kalangan bangsa Melayu dan Cina dengan mengambil pendekatan tiga bahasa iaitu bahasa kebangsaan iaitu Melayu, Tamil dan Inggeris.
"Saya berani jamin, filem ini akan memberi warna dalam industri perfileman kita kerana ia sangat berbeza dengan filem Tamil tempatan yang biasa.
"Pengarahnya, P.Ramesh seorang yang sangat hebat kerana dia bijak mewujudkan emosi pelakon-pelakonnya termasuk saya ketika penggambaran.
"Biasanya setiap kali melalui sesi rakaman audio (dubbing) filem, ia agak mudah, tetapi berbeza untuk filem ini, ia sangat susah. Sampaikan saya berpeluh-peluh ketika sesi tersebut walaupun berada bilik studio tersebut sejuk," ujarnya.
Turut dibarisi pelakon hebat Pushpa Narayan, Olli mengisahkan tentang makhluk asing yang berusaha untuk menakluki Bumi dan situasi ini disedari oleh seorang ahli geologi bernama Vishnu (Shashi) yang mempunyai seorang isteri, Sumathi (Pushpa).
Pertelagahan antara Vishnu dengan makhluk asing tersebut telah membuatkan makhluk itu marah lalu menculik Pushpa.
mStar Online

No comments:

Post a Comment