Wednesday, 4 July 2012

Tragedi Luka



GEORGETOWN: Akibat kecewa selepas mendapat khabar adiknya maut dalam satu kemalangan di India, seorang lelaki mengambil keputusan berkurung dalam bilik sewa di sebuah rumah kedai dua tingkat di Lebuh King, di sini, kelmarin.

Dia dikatakan melepaskan tekanan perasaan dengan meneguk minuman keras dan langsung tidak mahu keluar dari biliknya.


Bagaimanapun, tindakan lelaki itu berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui rentung dalam biliknya selepas rumah disewanya itu terbakar pada jam 6 petang.


Difahamkan, K Arokkiaraj, 34, warga India, ditemui rentung dalam sebuah daripada lima bilik di rumah disewanya bersama beberapa rakannya.


Sebelum kebakaran, mangsa dikatakan minum minuman keras dengan banyak sebelum mengurung diri dan dipercayai tertidur kerana terlalu mabuk.



Kejadian disedari beberapa orang awam selepas melihat kepulan asap dari rumah berkenaan sebelum menghubungi bomba.


Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang tiba di tempat kejadian dimaklumkan mangsa berada dalam bilik oleh rakan serumahnya, tetapi api yang marak terlalu cepat menggagalkan usaha menyelamatkannya.


Hasil pemeriksaan menemui mayat mangsa yang rentung seluruh badan dan anggota penyelamat mengutip serpihan tulang sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP).


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kebakaran.


“Mangsa kemungkinan tidak sempat melarikan diri kerana tertidur dalam biliknya dan tidak menyedari kebakaran berlaku, tetapi kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya,” katanya.



Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.02 petang dan 25 anggota dengan empat jentera tiba beberapa minit selepas itu sebelum kebakaran dapat dikawal 15 minit kemudian.


Harian Metro

No comments:

Post a Comment