PETALING JAYA: Pelakon dan penggiat teater Nadia Zainal tidak rasa tersisih kerana masih tidak popular walaupun sudah empat tahun bergelar artis.
Nadia, 22, menganggap tempoh itu adalah waktu untuk dia belajar selok belok dunia hiburan selain mengasah bakat menjadi pelakon yang baik.
"Saya tidak pernah berasa terkilan kerana perlu menunggu lama untuk popular berbanding sesetengah artis lain yang hanya mengambil masa singkat untuk dikenali," katanya kepada mStar Online di sini, Jumaat.
Tambahnya, walaupun sekarang ini dia mula merasai kehadiran populariti itu selepas mendapat banyak peluang berlakon, namun dia masih menganggap dirinya "mentah" dalam dunia seni.
"Mungkin sekarang saya sudah mula dikenali ramai tetapi saya belum hebat sebagai pelakon.
"Bagaimanapun saya teruja untuk terus mengembangkan bakat saya dan mahu melihat reaksi peminat tentang lakonan saya," ujarnya yang kini sedang popular menerusi drama bersiri Bukan Bidadari.
Drama itu ditayangkan di TV3 pada setiap Selasa pukul 9 malam.
Dalam pada itu, Nadia berkata, pengalaman berlakon di pentas teater telah banyak membimbingnya untuk menjadi seorang pelakon drama dan filem yang baik.
Katanya melalui teater dia banyak belajar tentang cara bermain dengan emosi, menghafal skrip selain mengurangkan rasa gemuruh semasa berada di set penggambaran.
"Dunia teater dan lakonan adalah dua perkara berbeza namun bersyukur segala pengalaman itu dapat digunakan sebaiknya dalam mengembangkan lagi bakat saya sebagai pelakon.
"Setakat ini saya berasa selesa berada di set penggambaran drama atau filem kerana sudah tahu bagaimana ingin menyesuaikan diri," katanya.
Antara drama lakonan Nadia adalah Impian Sunsilk, Blogger Boy 2, Inikah Cinta, Gadis Semasa, Apa Dosaku, Papa Nak Kahwin dan Epit dan Elly.
Nadia juga pernah terlibat dalam pementasan teater seperti Bangsawan Haris Fadilah, Muzikal tun Abdul Razak, Kucing Berlari dan Bangsawan Bunga Sakti Cinta Malam.
Mengenai perkembangan terbaru Nadia bakal muncul dengan filem Histeria terbitan Red Communication selain beberapa projek drama lain.
mStar Online
No comments:
Post a Comment