Sunday, 15 July 2012

Ditetak Angkara Futsal! Macam-Macam..



IPOH: Pertengkaran kecil membabitkan perlawanan futsal bertukar tragis apabila seorang pelajar kolej putus dua jari tangan selepas ditetak dengan parang, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 pagi, mangsa berusia 20 tahun turut ditetak bertalu-talu oleh 20 lelaki hingga bermandi darah berhampiran padang futsal Bandar Baru Putra, Tanjung Rambutan, di sini.


Lebih malang apabila adik mangsa berusia 18 tahun turut diserang kumpulan samseng hingga retak tulang kaki dan hampir putus tangan kanannya.


Sumber berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang juga penuntut jurusan komputer bermain futsal bersama adiknya di padang futsal berhampiran rumah mereka.


Menurutnya, berlaku salah faham kecil antara mangsa dengan seorang rakannya, dipercayai ada kaitan dengan kekasaran ketika perlawanan diadakan.



“Namun suspek didakwa beredar sebelum muncul kembali bersama sekumpulan lelaki menaiki motosikal beberapa minit kemudian.

“Kumpulan suspek kemudian menyerang mangsa dan adiknya dengan parang. Mangsa hanya mampu mempertahankan diri dengan tangan ketika ditetak kumpulan samseng,” katanya.


Menurutnya, mangsa ditetak dua jari tangan kirinya hingga putus selain turut dilibas dengan parang pada lutut kirinya.

“Adik mangsa yang juga penuntut kolej cuba membantu abangnya, namun turut diserang dan ditetak. Kumpulan samseng kemudian bergegas melarikan diri,” katanya. Sementara itu, adik mangsa ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh berkata, kumpulan suspek terlalu ramai dan dia tidak mampu berbuat apa-apa.


Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Setia, 18, berkata, seorang penyerang menetak kaki kirinya hingga menyebabkan tulang kakinya retak, selain lengan tangannya parah.



“Saya dan abang yang berlumuran darah kemudian dibawa dengan ambulans ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.



Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, pihaknya segera menubuhkan pasukan khas bagi memburu kumpulan penjenayah sejurus menerima laporan berhubung kes serangan itu.



Menurutnya, hasil tindakan pantas dilakukan, polis menangkap lima lelaki di kawasan itu yang dipercayai melakukan serangan.



“Semua suspek ditahan reman empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Polis masih memburu saki baki kumpulan itu yang dipercayai menyembunyikan diri,” katanya.

Harian Metro

No comments:

Post a Comment