Thursday 19 July 2012

Berjiran Dengan Hantu


KUALA LANGAT: Penduduk miskin dan ibu tunggal yang ditempatkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Desa Ehsan, Kampung Permatang Pasir, di sini, hidup dalam kebimbangan berikutan banyak rumah kosong di sekeliling mereka sekali gus mendedahkan mereka kepada bahaya dirompak.

Tinjauan Metroplus, mendapati kebanyakan rumah yang tidak dihuni dibiarkan kosong dan tidak terurus. Malah ada di antara rumah yang dikawal selia LZS itu ditumbuhi semak-samun.

Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Ros, 40-an, berkata dia takut untuk meninggalkan anaknya di rumah sendirian kerana kebanyakan rumah di sekelilingnya kosong dan tidak berpenghuni. “Saya amat berharap setiap rumah yang ada di kawasan ini dijaga dan mempunyai penghuni supaya keadaan persekitaran di sini, selamat.
“Pegawai dari LZS beberapa kali melawat kawasan ini, tapi tiada tindakan diambil untuk menjaga keadaan persekitaran rumah kosong berkenaan,” katanya.

Seorang ibu tunggal yang enggan dikenali, berkata rumahnya pernah dipecah masuk pencuri beberapa kali.

Katanya, keadaan persekitaran yang sunyi mengundang kepada masalah itu.

“Setiap lot mempunyai dua rumah yang berkongsi atap dan bumbung yang sama. Pencuri boleh memasuki rumah kami melalui atap rumah kosong yang tidak berpenghuni,” katanya.

Tinjauan di lokasi rumah kosong itu juga mendapati setiap rumah berkenaan rosak teruk hingga kebanyakan kemudahan asas seperti kipas, paip dan pelbagai alatan lain tidak boleh digunakan serta dicuri.

Rumah berkenaan yang sepatutnya diberikan kepada golongan asnaf seperti ibu tunggal dan golongan miskin sebagai tempat berteduh berubah menjadi tempat pengumpulan sampah, gejala vandalisme serta dikhuatiri mengundang kepada pembiakan nyamuk aedes.

Harian Metro

No comments:

Post a Comment