GEORGETOWN: Seorang lelaki berlari dalam keadaan kedua-dua kakinya
terbakar selepas van dinaiki bersama isteri terbabit kemalangan di
persimpangan lampu isyarat Jalan Kelawai di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, van Perodua Rusa dinaiki pasangan
terbabit terbakar dan mangsa ketika itu enggan turun kerana mahu
menyelamatkan barang dalam kenderaan berkenaan.
Difahamkan, sebelum itu van dinaiki pasangan suami isteri yang baru pulang dari berniaga itu terbabit kemalangan dengan sebuah Myvi yang pemandunya melarikan diri.
Api mula menyambar bahagian enjin van terbabit namun pemandu dan
penumpang van enggan turun kerana mereka mahu menyelamatkan barang.
Zabidi Roslan, 23, yang melalui jalan berkenaan berkata, dia melihat api kecil di bahagian depan van terbabit dan menjerit meminta pemandu serta penumpang keluar namun mereka enggan sebaliknya menyelamatkan barang dalam kenderaan.
“Api marak dengan cepat dan menyambar kaki pemandu terbabit yang kemudian keluar bersama isterinya. Mereka dibantu beberapa pengguna jalan raya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Bagan
Jermal, L Sivalinggam berkata, anggota bomba yang menerima maklumat
bergegas ke tempat kejadian.
“Satu jentera dengan kekuatan 10 anggota berusaha memadamkan kebakaran dan api dikawal sepenuhnya tujuh minit kemudian namun hampir keseluruhan kereta terbabit hangus.
“Kami dimaklumkan van itu dilanggar sebuah kereta yang melarikan
diri sebelum kenderaan itu terbakar di bahagian enjin,” katanya.
Harian Metro
No comments:
Post a Comment