Sunday 8 July 2012

MENARA FELDA Mercu Tanda Baru Melayu Di Segi Tiga Emas


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak berkata penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) dan pembinaan Menara Felda membuktikan badan itu sudah berjaya melakukan transformasi sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Peneroka yang tidak mudah tertipu dengan dakyah pembangkanglah penyumbang kejayaan Felda hari ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Peneroka 2012 di sini.
Beliau turut merasmikan Menara Felda setinggi 50 tingkat bernilai RM700 juta yang diilhamkan daripada bentuk biji sawit, yang terletak di Platinum Park, pusat perniagaan Segi Tiga Emas di ibu kota. Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi meraikan kira-kira 20,000 warga Felda termasuk 12,000 peneroka dari seluruh negara.
Najib berkata dua penipuan terbesar golongan yang disifatkan sebagai ‘makhluk perosak’ ialah Felda sudah bankrap dan tanah peneroka akan tergadai dengan penyenaraian FGVH.
“Mana ada syarikat bankrap boleh disenaraikan. Sekarang ini sudah senyap, tandanya orang tak terima (dakwaan itu), tak masuk akal. Hakikatnya tanah peneroka tak tergadai. Ini adalah penipuan paling besar dan mereka (pembangkang) sebenarnya mati akal,” katanya.
“Felda merupakan sebuah kisah yang sarat dengan cabaran demi cabaran. Apabila kita tabah dan cekal, rancang dan laksanakan dengan tegas dan berkesan, hasilnya dapat kita dikecapi hari ini,” kata Najib.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa pembayaran kedua RM5,000 kepada isteri peneroka akan dibuat selewat-lewatnya bulan Ramadan ini, diikuti dengan baki bayaran kepada anak-anak mereka.
Najib juga berkata nilai semasa Menara Felda yang menjadi kebanggaan peneroka itu telah meningkat kepada RM965 juta. “Belum masuk lagi sudah untung RM265 juta, bukankah ini satu keputusan yang menguntungkan…iaitu mencatat keuntungan 38 peratus,” katanya.
Sementara itu, Najib turut membayangkan kemungkinan memberi imbuhan tambahan kepada peneroka pada masa hadapan. “Kita masih ada dana. Kita tak belanja semua dan kita masih banyak perancangan untuk jana kekayaan. Kita bela peneroka Felda.
Sumber : wartarakyat.my


No comments:

Post a Comment