Saturday 7 July 2012

RUNGKAI POLEMIK NEGARA ISLAM


Atas dasar kepartian dalam negara, terdapat sebahagian di kalangan umat Islam yang tidak bersetuju dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri suatu ketika dahulu yang mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Berdasarkan kenyataan tersebut, ada di kalangan kelompok umat Islam yang mewakili sebuah parti menafikan hakikat ini. Mereka mengatakan sebaliknya yakni Malaysia bukan negara Islam. Pertembungan dua kefahaman ini mengakibatkan timbul kesan negatif terhadap Melayu dan Islam dalam negara ini.
Apa yang perlu dibahaskan di antara dua kefahaman tentang Malaysia samada negara Islam atau tidak merupakan satu polemik yang mesti dicari mana satu kebenaran di antara dua kenyataan tersebut.
Mereka mendakwa Malaysia bukan negara Islam kerana undang-undang jenayah yang melibatkan zina, minum arak, qazaf, mencuri, pemberontakan, murtad dan qisas yakni bunuh balas tidak berhukum dengan hukum Allah atau yang lebih sinonim dipanggil hukum hudud. Maka disebabkan kerajaan Malaysia tidak melaksanakan hukum hudud ini Malaysia tidak boleh dianggap sebagai negara Islam.
Apakah benar kriteria sesebuah negara Islam seperti yang mereka maksudkan? Apakah hukum hudud satu hukum Allah yang tertinggi? Bahkan lebih dahsyat dari itu pemerintah yang tidak melaksanakan hukum hudud ini dianggap telah mengingkari kewajipannya dan telah jatuh kafir dan perlu digulingkan. Apakah kefahaman ini juga benar?
Secara tegas dan jelas setiap hukum Islam yang fardu dan yang wajib jika seseorang itu mengingkari akan kefarduan dan kewajipannya maka telah ijmak para ulama ahli sunnah wal jamaah akan kekafirannya. Tetapi berbeza hukumnya kepada seseorang yang masih beriman akan kefarduan dan kewajipan sesuatu hukum walaupun ia tidak melaksanakannya. Ia tidak jatuh kafir.
Takrif Negara Islam
Bagi menjelaskan kekeliruan berkenaan hal ini, apakah para ulama di kalangan ahli sunnah wal jamaah tidak membincangkan atau membahaskan ciri atau kriteria sesebuah negara Islam? Jawapannya, ya ada dan banyak sekali. Antaranya ialah penegasan oleh Imam Abu Bakar al-Isma’ili rahimahullah (wafat: 371 h),
“Dan mereka (Ahlus Sunnah wal-Jama’ah) mengimani (mengakui) bahawa sesebuah negara (daar) adalah negara Islam bukan negara kafir sebagaimana pandangan al-Mu’tazilah, apabila masih terdapat seruan (azan) untuk solat dan solat didirikan dengan zahir (terang-terangan) dan ahlinya (rakyatnya) pula sentiasa bebas mendirikannya dalam suasana aman.” (Rujuk: Abu Bakr al-Isma’ili, I’tiqad A’immatul Hadis, m/s. 31, Bab: Daar al-Islam – Maktabah Syamilah)
Bahkan majoriti ulama ahli Sunnah wal jamaah seperti Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, Imam Nawawi, Syeikh Nashiruddin al-Albani dan beratus-ratus lagi para ulama memberi kesimpulan berkenaan ciri-ciri sesebuah Negara Islam di dalam kitab-kitab mereka melalui hadis-hadis Nabi saw berkenaan kepimpinan dan Negara.
Mereka telah mengariskan kriteria dan ciri-ciri utama sesebuah negara Islam itu ialah pemimpin utamanya seorang muslim dan majoriti rakyatnya beragama Islam, dilaungkan azan, didirikan solat jemaah 2 hari raya setiap tahun dan solat jumaat setiap minggu. Sekiranya ciri- ciri ini sudah terpenuhi maka wilayah atau negara tersebut adalah negara Islam. Maka tidak boleh hanya kerana Malaysia belum dapat melaksanakan hukum jenayah Islam(hudud) dianggap gugur keislaman pada negara ini. Hal Ini adalah kefahaman yang tidak berteraskan kefahaman Islam bermanhaj ahli sunnah wal jamaah yang betul.
Cuma apa yang perlu kita harapkan adalah kesempurnaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dengan berusaha memartabatkan semua hukum Allah di dalam pentadbirannya. Hukum Allah bukan semata-mata hudud sahaja, bahkan hukum Allah meliputi segala apa yang Allah suruh dan apa yang Allah larang.
Rukun Islam Hukum Allah tertinggi
Hukum Allah yang terbesar dan tertinggi adalah apa yang terkandung di dalam rukun Islam dan diikuti rukun iman. Manakala hukum Allah yang utama yang perlu kita perjuangkan dan pertahankan adalah rukun Islam yang pertama kalimah “la ilahaillallah” atau nama besarnya adalah aqidah dan tauhid kepada Allah.
Umat Islam mestilah berusaha agar masyarakat bukan Islam dalam negara ini menerima Islam sebagai agama. Jika hal ini berjaya didakwahkan maka rahmat Allah lebih banyak akan diberikan kepada negara ini.
Mana mungkin Malaysia bukan negara Islam sedangkan kita tidak dihalang atau terhalang untuk mendirikan solat bahkan bersolat dengan aman, di samping banyak masjid dan surau dibina agar kalimah Allah dapat disebarkan.
Tiada siapa yang memaksa kita supaya jangan berpuasa, kita bebas menunaikan rukun zakat dan disediakan pula kemudahan agar dapat membuat haji dan umrah saban tahun, apakah kita tidak bebas dan dihalang daripada melaksanakan hukum-hakam dari rukun Islam ini?
Kita selamat pergi ke masjid untuk solat jumaat, boleh melaksanakan ibadah korban, boleh meraikan 2 hari raya, kita bebas melakukan segala galanya amalan yang dituntut dalam Islam samada fardu, wajib mahupun yang sunnah.
Jadi di manakah silapnya kita, sehingga di atas dasar sempit kepartian perpaduan Islam tidak dapat direalisasikan kerana suara-suara perpecahan berkumandang di atas nama Islam. Islam yang dilaungkan tetapi perpecahan yang terjadi.
Salah slogan
Silapnya kita adalah suka menonjolkan Islam pada hal-hal yang berkaitan menghukum kesalahan orang sahaja, sedangkan Nabi dan para sahabat lebih menonjolkan Islam itu dengan rahmat dan pengharapan hidayah di samping taubat.
Dapat difahami dari firman Allah bermaksud: “Sesiapa melakukan perkara buruk atau menzalimi dirinya kemudian bertaubat, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun dan Penyayang.” (Surah An-Nisa’, ayat 110)
Dan dikuatkan lagi dengan hadis Qudsi yang bermaksud:
“Sesiapa yang datang kepadaku sejengkal, nescaya Aku akan datang padanya sehasta. Jika dia datang pada-Ku sehasta, nescaya aku akan datang padanya lebih dari itu. Jika dia datang berjalan kaki nescaya Aku datang padanya berlari-lari. Jika datang dia dengan dosa yang banyak nescaya Aku akan ampunkan mereka selagi mereka tidak menyekutukan Aku.” (Hadis Riwayat Muslim)
Salah kempen kita menyebabkan keburukan itu kembali kepada Islam. Islam yang syumul ini dilihat sempit kerana slogan orang-orang yang lemah akal dan pengetahuan agamanya. Misalnya apakah keuntungannya apabila kita melaungkan Malaysia bukan negara Islam? Pasti ada yang mengambil kesempatan di atas slogan ini. Pernah ditanya kepada orang murtad kenapa dia murtad? Dia menjawab sebab Malaysia ini bukan negara Islam maka tidak ada masalah untuk murtad.
Mungkin juga akan ada yang mempertikai laungan azan, solat, puasa, zakat dan haji di atas slogan Malaysia bukan negara Islam. Jadi kita mesti bijak dalam beragama. Jika ditanya kenapa tidak boleh murtad, perlu mendirikan solat, perlu bayar zakat dan sebagainya di Malaysia ini, maka jawapannya adalah Malaysia ini negara Islam. LGBT dan seks bebas juga tidak dibenarkan kerana Malaysia adalah negara Islam.
Bukanlah satu kebanggaan jika ramai dihukum pancung sebab murtad, dipotong tangannya sebab mencuri atau dirotan 100 kali sebab berzina itu baru boleh dianggap sebagai sebuah negara Islam tetapi lambang negara Islam itu dan kempennya adalah ramainya manusia menganut Islam, harta benda tidak perlu dikunci rapi, dan tiada di kalangan orang Islam dirotan 100 kali itulah sebenarnya negara Islam dan penghuninya. Maka keamanan dan kemakmuran termasuk lambang negara Islam dan bukanlah hura hara dan tiada kestabilan itu baru digelar negara Islam.
Bahkan Allah swt berjanji kepada kita, jika kita menjaga aqidah tauhid dan melakukan amal soleh, Allah menjanjikan kekuasaan di muka bumi ini, seperti firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjanjikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barangsiapa yang tetap kafir sesudah janji itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (an-Nuur, 24: 55 )
Jika dimuhasabah kenapa umat Islam dan negara Islam hari ini mundur dan dikecam, faktor utamanya adalah kerana terlalu banyak melakukan syirik yang menjejaskan tauhid diikuti penyelewengan dalam melakukan amalan dan ibadat yang banyak kebid’ahan.
Sesungguhnya jika benar-benar rakyat beriman dan beramal soleh pasti Allah menguatkan Islam dan Melayu dalam negara ini. Berusaha ke arah perpaduan Islam adalah satu sunnah Nabi dan hindarilah perpecahan yang bukan dari ajaran Islam.
Ustaz Ahmad Tajuddin Idris Al-Manhaji
Penulis berkelulusan Syariah Fiqh dan Usul Universiti Malaya dan adalah Ketua Biro Sekretariat iLMU
Siaran akhbar Jumaat, 06 Julai 2012

No comments:

Post a Comment