Saturday, 14 July 2012

Bintang Terkenal di KLCC Esok! Jangan Ketinggalan



PETANG esok bermula jam 5 petang, karnival khusus untuk golongan remaja akan diadakan di ruang Esplanade, KLCC, Kuala Lumpur. Bukan setakat persembahan hebat, malah sambutan dan juga majlis pelancaran 1M4U, esok turut menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik untuk mereka yang hadir.

1M4U atau juga disebut ‘I am for youth’ adalah slogan dilaungkan Perdana Menteri yang mencerminkan beliau sentiasa mendahulukan perpaduan dan kerjasama di kalangan masyarakat negara ini. 


Barisan selebriti terkenal akan turut hadir bersama-sama memeriahkan lagi sambutan pelancaran 1M4U. Antara yang akan hadir termasuk bintang Akademi Fantasia, Adira, Stacy dan Hafiz; juara program Mentor, Black; pelawak terkenal, Johan dan Zizan serta kumpulan Osbon. 

Selain artis, karnival anjuran bersama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini akan turut dimeriahkan dengan 16 aktiviti menarik untuk pengunjung.



Dijangkakan, lebih 37,000 golongan muda membanjiri sekitar Esplande, esok.



Penganjur menyediakan enam pentas hiburan di sekitar Esplanade dengan pelbagai genre. Pentas yang bakal menjadi tumpuan ialah pentas satu yang menyajikan persembahan daripada peserta Maharaja Lawak. Selain Johan, Zizan dan Osbon, juara Raja Lawak musim terbaru, Shiro, Ebby Yus dan Kecik akan turut hadir memeriahkan sambutan ini. 

Pentas selebriti menampilkan artis tempatan seperti Stacy, Cystal, Adira dan Hafiz. Pentas lain pula akan turut menyediakan persembahan menarik untuk orang ramai apabila persembahan tarian tradisional, boria, street magic dan muzik hip hop akan menyerikan sepanjang sambutan itu. 

Perdana Menteri dijangka menanam pokok sempena kempen Go Green sewaktu ketibaan sebelum singgah di gerai pameran dan bertemu dua kumpulan sukarelawan. 

Kehadiran Perdana Menteri juga akan disambut tarian Flashmob oleh lebih 3,000 sukarelawan. 

Orang ramai dipelawa untuk bersama-sama menyaksikan majlis bersejarah ini di samping menyemarakkan usaha mewujudkan Gelombang Kesukarelawanan di kalangan rakyat negara ini. 

Aktiviti yang membabitkan kira-kira 500 peserta termasuk sukarelawan dari pelbagai kementerian, agensi serta pertubuhan sukarela di samping penyertaan penduduk setempat termasuk aktiviti gotong-royong perdana, menderma darah, pemeriksaan kesihatan, membersihkan sungai, menanam pokok, membina jambatan, bersama anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas, kitar semula dan program amal di perkampungan Orang Asli di daerah Gombak. 

Orang ramai juga dipelawa menderma darah yang disediakan di Explande KLCC untuk mengisi keperluan Pusat Darah Negara.


No comments:

Post a Comment