PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak menolak andaian kononnya dia sedang mengalami fasa kejatuhan sehingga menyebabkan filem lakonannya iaitu Aku, Kau dan Dia yang ditayangkan pada 28 Jun lalu gagal mendapat sambutan penonton.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 30, berkata, gosip
negatif yang melandanya sejak kebelakangan ini bukan menjadi punca
sesebuah karya itu merudum sebaliknya ia adalah trend yang sedang
melanda industri perfileman negara ketika ini.
“Saya belum jatuh. Sambutan yang kurang terhadap filem bukan hanya
berlaku terhjadap filem lakonan saya tetapi filem-filem lain juga pada
tahun ini,” katanya kepada mStar Online di sini, Isnin.
Remy diminta mengulas khabar angin kononnya peminat sudah tidak
teruja dengan kehadirannya berikutan pelbagai gosip buruk melanda dia
sejak kebelakangan ini sehingga memberi kesan terhadap kutipan filem Aku, Kau dan Dia.
Mengikut rekod yang dicatatkan Finas sehingga 9 Julai lalu, filem berkenaan mencatat kutipan kasar sebanyak RM150,000.
Remy berkata, sejak awal tahun ini, tidak banyak filem yang ditayangkan mencatatkan kutipan tinggi.
Katanya, faktor kejatuhan seperti yang diperkatakan itu adalah tidak
benar sama sekali kerana sehingga kini dia masih mendapat banyak tawaran
berlakon.
“Saya tidak merasakan yang saya sedang berada pada zaman kejatuhan
tetapi kutipan yang tidak menggalakkan itu adalah berpunca daripada
sebab-sebab lain,” katanya.
Tambah Remy, kebanyakan syarikat produksi juga sukar untuk membuat
ramalan apakah genre yang diminati oleh orang ramai agar filem yang
dihasilkan itu mencapai kutipan boxoffice.
Sementara itu ditanya adakah dia bakal kehilangan peminat berikutan
percintaannya dengan Tiz Zaqyah, Remy memberitahu dia tidak melihat
perkara itu sebagai satu masalah besar.
“Peminat sudah boleh terima kisah cinta seseorang artis itu dan
setakat ini ramai yang memberi sokongan. Apa yang penting kami tidak
menyembunyikan hubungan kami,” katanya.
mStar Online
No comments:
Post a Comment