KUALA LUMPUR: Juara program Kilauan Emas musim kedua iaitu Ahmad Fuad Zaharullai atau Fuad mengakui lagu Syair Laila Majnun telah memberi tuah kepadanya sehingga layak merangkul gelaran itu.
Fuad, 45, berkata, lagu asal nyanyian Ramli Sarip dan Jamal Abdillah itu yang berjaya disampaikan dengan baik telah menambat hati juri dan pengundi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Alhamdulillahlah rezeki berpihak kepada saya walaupun bukan peserta pilihan sebelum ini.
"Namun saya yakin telah menambat hati juri profesional dan pengundi menerusi lagu Syair Laila Majnun yang jarang dinyanyikan dalam pertandingan," katanya semasa sidang media selepas selesai program itu di Dewan Sri Putra di sini, malam Rabu.
Fuad berjaya menewaskan lima peserta lain apabila muncul juara dengan jumlah peratusan sebanyak 47.55 peratus.
Peserta berasal dari Selangor itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi.
Manakala tempat kedua menjadi milik peserta dari zon tengah iaitu Nor Azri Zainuddin, 43, yang mendapat 44.81 peratus.
Nor Azri membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 berserta trofi serta turut menggondol Anugerah Khas Polident yang membolehkannya mendapat wang tunai berjumlah RM5,000 dan trofi.
Bagi tempat ketiga jatuh kepada Jumat Ramle, 48, yang (42.77 peratus) mewakili zon Sabah dengan hadiah berupa RM15,000 dan trofi.
Tiga lagi peserta yang berentap malam itu adalah Salanan Saleh, 47, Muhammad Norjulaini Kalil, 45 dan Mohd Fadzil Borhan, 45.
Kesemua mereka diadili oleh tiga juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Ahmad Nawab dan penyanyi terkenal Indonesia, Hetty Koes Endang.
Manakala komposer Adnan Abu Hassan dan penyanyi, Juliza Adlizan bertindak sebagai guru vokal kepada para peserta.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangan masa depannya, Fuad berkata dia masih belum membuat apa-apa keputusan tetapi berhasrat untuk merakamkan sebuah album single.
Fuad bagaimanapun memberitahu, dia bercadang untuk berkongsi wang kemenangannya itu bersama keluarga tersayang.
"Apa salahnya rezeki ini turut dirasai oleh keluarga saya dan berhasrat untuk mengadakan kenduri kesyukuran atas kemenangan ini," katanya.
Sementara itu, Pengurus Hiburan Astro, Azlin Reza berkata, pihaknya gembira apabila Kilauan Emas musim kedua mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada peminat dan tidak menolak kemungkinan ia akan diteruskan untuk musim ketiga tahun hadapan.
Ujar Azlin, pertambahan bilangan peserta yang hadir untuk uji bakat juga meningkat mendadak selain sokongan penonton menjadikan program itu sentiasa mendapat perhatian.
"Tidak mustahil akan ada musim ketiga dengan sambutan menggalakkan musim ini dan pelbagai penambahbaikan boleh dibuat pada masa akan datang," ujarnya.
Tambah Azlin, pihaknya juga sedang dalam peringkat perbincangan untuk menghasilkan album single untuk Fuad sebagai kesinambungan kepada kemenangannya pada malam itu.
"Insya-Allah ia masih dalam peringkat perbincangan, ujarnya.
Kilauan Emas akhir yang dihoskan oleh Raja Azura turut diserikan dengan persembahan daripada Fredo dan Othman Hamzah.
mStar Online
No comments:
Post a Comment